Images
  • tsunami (2)
    Tsunami membadai Selat Sunda pada Disember lalu. (Gambar: Jorge Silva/Reuters)

Rumah dibadai ombak tsunami; isteri dan anak-anak hanyut disangka mimpi

BANTEN: "Saya, isteri dan anak-anak dihanyutkan ombak besar ketika kami semua sedang tidur. Pada mulanya, saya menyangkakan mimpi, rupanya tidak," kata Dasep, seorang mangsa tsunami Selat Sunda.

Dasep, 31 tahun, kehilangan anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan bayi lelaki yang berusia 22 hari akibat bencana itu.

“Dua hari sebelum kejadian (bencana tsunami), isteri saya (Nur) berusia 27 tahun, kerap mengajak saya untuk pulang ke rumah kedua ibu bapanya di Citakil.

“Ini berikutan, ibu bapa kepada isteri saya berasa tidak sedap hati. Saya bukan tidak mahu pulang ke sana tetapi masih ada kerja yang perlu saya selesaikan,” katanya.

Sebelum kejadian itu, Dasep dan keluarganya yang sedang lena tidur kedengaran bunyi seperti pantai ‘dipukul’ dengan kuat tetapi beliau tidak mengendahkannya.

“Sedang lena tidur, tiba-tiba katil saya terapung dan naik secara perlahah-lahan, saya merasa semakin dekat dengan siling rumah.

“Pada ketika itu, saya ingatkan sedang bermimpi tetapi sangkaan saya meleset apabila ombak besar membadai rumah saya sehingga roboh serta dihanyutkan sejauh 3 kilometer dari rumah,” katanya.

Dasep menceritakan bahawa ketika itu, isteri dan anak-anaknya dihanyut arus kuat. Beliau bagaimanapun tidak sempat untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Menurut Dasep, isterinya ditemui selamat pada keesokan hari manakala dua anaknya ditemui meninggal dunia.

“Sewaktu pertemuan kami, saya sedang membuat salinan sijil kematian anak-anak saya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Rumah saya hancur, anak-anak meninggal dunia. Tinggal saya dan isteri. Salinan sijil kematian ini akan saya serahkan kepada pemerintah untuk mendapatkan bantuan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.   

- BERNAMA/AI/ai

Top