Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rugi besar jika projek HSR dibatalkan, kata CEO

Malaysia akan kehilangan sumbangan pendapatan negara kasar (PNK) anggaran RM209 bilion (S$70 bilion) sekiranya projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dibatalkan, menurut MyHSR Corporation.

Anggaran Waktu Membaca:
Rugi besar jika projek HSR dibatalkan, kata CEO

Konsep reka bentuk bagi stesen Muar di laluan HSR KL-S'pura. (Gambar fail: MyHSR)

Diterbitkan : 03 May 2018 10:54PM Dikemas Kini : 03 May 2018 11:46PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan kehilangan sumbangan pendapatan negara kasar (PNK) anggaran RM209 bilion (S$70 bilion) sekiranya projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dibatalkan, menurut MyHSR Corporation.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata sumbangan PNK itu berdasarkan kesan limpahan industri kereta api dan sokongan, hasil daripada pembangunan keupayaan HSR pada 2035.

“Kerajaan yang memerintah mempunyai hak sepenuhnya untuk menentukannya. Bagaimanapun, faedah daripada projek ini datang dari pelbagai bidang termasuk perancangan, pembinaan, operasi dan penyenggaraan. 

“Faedah limpahannya adalah sangat besar yang mana ia adalah peluang yang terbuang jika kita tidak meneruskannya,” kata beliau hari ini (3 Mei).

MyHSR Corporation yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan, adalah syarikat yang melaksanakan projek HSR KL-Singapura.

Datuk Mohd Nur Ismal berkata, antara faedah projek itu adalah pembentukan tujuh bandar raya mega di sepanjang lokasi stesen HSR iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban, Sepang dan Bandar Malaysia, selain peluang perniagaan untuk kontraktor tempatan melalui pembinaannya.

“Dengan lebih 60 pakej kerja awam, ia akan memberikan lebih 5,000 pakej sub-kontrak yang dibuka untuk firma tempatan, yang akan merangsang pertumbuhan industri tempatan. Lebih 40 peratus nilai pakej kerja awam akan diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera,” tambah beliau.

PENTING BAGI PEMAIN TEMPATAN TERLIBAT SAMA

Datuk Mohd Nur Ismal berkata, MyHSR Corporation menyokong usaha tersebut dan sudah memulakan proses pemerolehan yang menekankan kepada pentingnya pemain tempatan terbabit dalam projek itu.

“Peluang untuk kontraktor tempatan adalah banyak dan pakej kerja awam ini merangkumi perundingan, kejuruteraan dan reka bentuk, pensijilan, pengujian serta pentauliahan.

“Memberikan kerja-kerja ini kepada rakyat tempatan akan menyumbang terus kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Katanya, HSR juga dijangka mewujudkan lebih 70,000 pekerjaan untuk menyiapkan pakej kerja awam dan membantu membina modal insan dalam kalangan graduan dan pelajar vikasional.

“Mereka akan mendapat kemahiran terkini berkenaan pembangunan HSR yang mana ia adalah puncak kepada kejuruteraan kereta api,” tambahnya.

Justeru kata Datuk Mohd  Nur Ismal, pembatalan projek berkenaan bukan sahaja menyebabkan Malaysia kehilangan faedah ekonomi, tetapi juga perlu  menanggung kos kegagalan selain  pampasan untuk kos kegagalan di Singapura.

Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan nilainya.

PROJEK MUNGKIN TIDAK DILAKSANAKAN JIKA PEMBANGKANG BERKUASA

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini menyatakan tentangannya terhadap projek HSR dan mengatakan kekangan kewangan sebagai alasan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kontrak HSR yang ditandatangani antara Malaysia dengan Singapura mungkin tidak dilaksanakan jika pembangkang berkuasa.

Dijangka siap pada Disember 2026, HSR mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dengan Singapura menjadi 90 minit dan bertindak  sebagai pemangkin pembangunan sosio-ekonomi selain pembangunan bandar sepanjang laluannya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan