Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Royal Caribbean batal pelayaran 10 Dis selepas penumpang diuji positif COVID-19

Royal Caribbean memutuskan untuk membatalkan pelayaran Quantum of the Seas pada Khamis (10 Dis) "atas langkah berhati-hati", setelah seorang penumpang dalam pelayaran sebelumnya diuji positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Royal Caribbean batal pelayaran 10 Dis selepas penumpang diuji positif COVID-19

Kapal Quantum of the Seas Royal Caribbean International. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Dec 2020 10:18PM Dikemas Kini : 09 Dec 2020 10:24PM

SINGAPURA: Royal Caribbean memutuskan untuk membatalkan pelayaran Quantum of the Seas pada Khamis (10 Dis) "atas langkah berhati-hati", setelah seorang penumpang dalam pelayaran sebelumnya diuji positif COVID-19.

Ia akan disambung pada 14 Disember, kata Royal Caribbean melalui emel pada Rabu malam.

Keputusan itu dibuat setelah Royal Caribbean pada awalnya menyatakan bahawa pelayaran pada Khamis akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Pada Rabu, seorang penumpang di kapal milik Royal Caribbean diuji positif COVID-19 semasa satu pelayaran tanpa destinasi, mendorong kapal tersebut untuk kembali ke Singapura sehari lebih awal daripada dijadualkan.

Penumpang tersebut, seorang lelaki 83 tahun, telah pergi ke pusat perubatan di kapal tersebut setelah mengalami gejala cirit-birit. Beliau diberi ujian reaksi berantai polimerase (PCR) wajib sebagai sebahagian daripada protokol di atas kapal dan diuji positif.

Para penumpang mula turun dari kapal tersebut sejurus sebelum 8.00 malam pada Rabu, sekitar 12 jam setelah ia berlabuh di Pusat Persiaran Marina Bay.

Mediacorp memerhatikan penumpang meninggalkan kapal melalui laluan yang tertutup.

"Keselamatan dan kesejahteraan tetamu dan anak kapal Royal Caribbean International, adalah keutamaan kami.

"Atas langkah berhati-hati, kami memutuskan untuk membatalkan pelayaran pada 10 Disember 2020," kata Royal Caribbean pada Rabu malam.

Royal Caribbean menyatakan pihaknya akan membuat bayaran balik penuh harga pakej, serta kredit 25 peratus untuk digunakan bagi pelayaran pada masa depan.

Jumlah itu berdasarkan tambang pelayaran yang dibayar oleh pelanggan dan kredit pelayaran masa depan akan dihantar kepada pelanggan melalui emel selewat-lewatnya pada 22 Januari 2021. Kredit tersebut akan sah selama setahun dari tarikh ia dikeluarkan.

Segala kemudahan dan pakej yang dibeli lebih awal, seperti Internet, minuman, makanan atau naik taraf bilik, akan dikembalikan secara automatik bersama dengan cukai dan yuran.

Royal Caribbean menambah bahawa pihaknya akan mula memproses pemulangan bayaran dengan segera dan proses itu akan memakan masa sekitar 45 hari.

Para pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan juga boleh menghubungi penasihat perjalanan mereka atau menghubungi Royal Carribean di 6675 0419.

"Kami faham banyak masa dan usaha diluangkan untuk merancang percutian anda dan kami meminta maaf atas rasa kecewa dan sebarang kesulitan yang dialami," kata Royal Caribbean.
LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan