Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM beri keterangan

Isteri mantan Perdana Menteri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jun 2018 11:56AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 12:57AM

PUTRAJAYA: Isteri mantan Perdana Menteri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd. 

Ini merupakan kemunculan pertama Cik Rosmah di khalayak ramai selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), setelah SPRM mengarahkan beliau hadir hari ini (5 Jun).

Cik Rosmah yang datang menaiki kenderaan Mercedez tiba pada kira-kira 10.43 pagi tanpa polis pengiring. Polis dilihat mengawal ketat pekarangan bangunan SPRM.

Beliau yang berpakaian baju kurung berbunga berwarna biru dan bertudung merah serta membawa beg berwarna merah ditemani anaknya Nooryana Najwa Mohd Najib, berjalan pantas serta terus meluru masuk ke pekarangan bangunan itu tanpa mempedulikan puluhan wakil media yang mengambil gambarnya.

Difahamkan, Cik Rosmah akan memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM  seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes itu. 

Pada Jumaat lalu (1 Jun), SPRM mengeluarkan notis kepada Cik Rosmah untuk memberi keterangannya berkaitan siasatan SRC International.

Notis itu disampaikan oleh pegawai SPRM di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta.

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan