Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah diperintah periksa, sahkan barang kemas RM60 juta

Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (14 Feb) memerintahkan isteri mantan Perdana Menteri, Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta (S$20 juta) di bawah miliknya yang didakwa dirampas oleh pihak polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah diperintah periksa, sahkan barang kemas RM60 juta

Gambar fail Rosmah Mansor. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Feb 2019 04:48PM Dikemas Kini : 14 Feb 2019 04:50PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (14 Feb) memerintahkan isteri mantan Perdana Menteri, Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta (S$20 juta) di bawah miliknya yang didakwa dirampas oleh pihak polis.

Beliau diberi tempoh tujuh hari untuk berbuat demikian.

Peguam David Gurupatham, yang bertindak bagi syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL ketika ditemui pemberita berkata perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin (she) selepas pengurusan kes saman berkenaan di dalam kamarnya, hari ini.

Encik Gurupatham berkata Cik Rosmah perlu membuktikan di mana kesemua barang kemas berkenaan berada dan bukan anak guamnya yang perlu berbuat demikian.

Peguam itu berkata Cik Rosmah mengesahkan menerima dan menandatangani konsainan barangan barangan kemas itu atas permintaan beliau dan sekarang beliau menyatakan tidak perlu membuat pembayaran selepas mendakwa barangan kemas itu dirampas oleh polis.

Beliau berkata mahkamah turut mengarahkan supaya semua pihak melengkapkan semua dokumen yang akan digunakan bagi perbicaraan kes yang ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Cik Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Cik Rosmah sudah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsainan barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Cik Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

Syarikat itu yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan, dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (S$168,500) dan AS$925,000 (S$1.2 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu mendakwa bahawa Cik Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon perintah mandatori supaya Cik Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas itu, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Cik Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Cik Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.

Sumber : Bernama/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan