Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah dikatakan mempengaruhi saksi, minta beri keterangan menyebelahi beliau

Pihak pendakwa raya memberitahu Mahkamah Sesyen Malaysia hari ini (4 Okt) bahawa Rosmah Mansor berjumpa dengan seorang saksi untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau. 

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah dikatakan mempengaruhi saksi, minta beri keterangan menyebelahi beliau

Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Rosmah Mansor. (Gambar fail: Vincent Thian/AP)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 10:15PM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 11:52PM

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa raya memberitahu Mahkamah Sesyen Malaysia hari ini (4 Okt) bahawa Rosmah Mansor berjumpa dengan seorang saksi untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau. Beliau kini dikenakan 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta (S$2.3 juta).

Hakim yang sudah bersara, Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwa raya, menyatakan perkara itu ketika memohon mahkamah supaya tidak membenarkan isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak itu diikat jamin atas alasan terdapat bahaya besar gangguan dilakukan terhadap saksi.

“Terdapat faktor lebih penting yang ingin kami maklumkan kepada mahkamah. Apabila pihak pendakwa merekodkan kenyataan seorang saksi, tertuduh (Rosmah) berjumpa dengan saksi itu untuk memintanya memberi keterangan yang menyebelahi beliau. Saya ada satu salinan laporan polis tentang perkara itu,” kata Encik Sri Ram.

Beliau kemudian mengemukakan laporan polis berkenaan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Hakim Azura Alwi, yang mendengar kes itu.

Encik Sri Ram berkata tuduhan yang dihadapi Cik Rosmah merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, tetapi terserahlah kepada budi bicara mahkamah sama ada membenarkan ikat jamin atau sebaliknya.

Menurut beliau, berdasarkan prinsip undang-undang, ikat jamin tidak seharusnya dibenarkan jika terdapat bahaya ketara saksi diganggu.

“Bagaimanapun, kami memohon agar ikat jamin ditetapkan pada RM10 juta (S$3.30 juta) dengan dua syarat, iaitu tertuduh perlu menyerahkan dua pasportnya dan tidak menghubungi saksi serta mereka yang berpotensi menjadi saksi dari sekarang hinggalah selesai perbicaraan,” katanya.

Peguam Geethan Ram Vincent,yang mewakili Cik Rosmah, memohon mahkamah menimbangkan jumlah ikat jamin yang disyorkan pihak pendakwa dengan berkata ikat jamin hanya bertujuan memastikan tertuduh akan hadir di mahkamah.

Beliau berkata dalam menentukan jumlah ikat jamin, pihak pembela memberi alasan yang berlandaskan peruntukan undang-undang serta merujuk kepada beberapa “perkara bertaraf tinggi” dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah adalah berpatutan.

"Pertama, dalam kes terbaru, di mana Datuk Seri Najib Razak, yang menghadapi 21 tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, inti perkaranya melibatkan RM2.6 bilion (S$865 juta) dan jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah ialah RM3.5 juta (S$1.2 juta), manakala dalam kes Datuk Jaya Kumar, yang melibatkan RM16.5 juta (S$5.5 juta), ikat jaminnya ialah RM600,000 (S$199,800).

"Berdasarkan kes ini dan tuduhan (dihadapi Rosmah), yang melibatkan RM7 juta (S$2.3 juta), saya mencadangkan agar anak guam saya dikenakan ikat jamin RM250,000 (S$83,200). Jumlah itu tepat dan berpatutan bagi memastikan kehadiran beliau di mahkamah nanti,” katanya.

Encik Vincent berkata mahkamah juga perlu mengambil kira faktor bahawa anak guamnya bersedia untuk mematuhi dua syarat yang dimohon pihak pendakwa.

"Anak guam saya membawa bersama-sama beliau dua dokumen perjalanan beliau untuk diserah kepada mahkamah dan beliau bersedia untuk berjanji tidak akan mendekati mana-mana saksi atau mereka yang berpotensi menjadi saksi yang mempunyai kaitan dengan kes pihak pendakwa ini,” katanya.

Beliau berkata Cik Rosmah juga memberi kerjasama penuh kepada SPRM semasa siasatan dan sudah dipanggil sebanyak tiga kali oleh suruhanjaya itu untuk memberi kenyataan.

“Kali pertama beliau dipanggil SPRM ialah pada 5 Jun lalu, kali kedua pada 26 September dan kali terakhir pada 3 Oktober. Beliau tidak pernah gagal untuk hadir serta memberi kerjasama penuh kepada SPRM, walaupun diberi notis singkat oleh suruhanjaya itu.

"Perjalanan beliau ke luar negara disekat sejak Mei lalu dan hingga kini, anak guam saya tidak pernah cuba untuk meninggalkan negara ini,” kata beliau sambil menambah bahawa Cik Rosmah juga tidak mempunyai rekod lampau.

Peguam K. Kumaraendran, yang bertindak sebagai peguam utama bagi Cik Rosmah, berkata jumlah yang dicadangkan pihak pendakwa adalah terlalu berlebihan dan oleh itu, beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberi pertimbangan terhadap dakwaan pihak pendakwa berhubung gangguan terhadap saksi dalam menentukan jumlah ikat jamin.

Encik Sri Ram membalas hujah itu dengan berkata jumlah ikat jamin yang dicadangkan Encik Vincent tidak munasabah kerana mahkamah perlu menimbang kedudukan Cik Rosmah dalam kehidupan.

“Kedudukan peribadi tertuduh memang tinggi, tetapi keperibadian itu bercanggah dengan apa yang beliau lalui. Paling utama, seseorang yang berkedudukan seperti beliau tidak sepatutnya berada di kandang tertuduh,” katanya.

Encik Sri Ram berkata pihak pendakwa mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10 juta (S$3.30 juta) setelah mengambil kira fakta kes, termasuk mengganggu saksi.

Encik Sri Ram juga berhujah bahawa tidak berlaku perbuatan mengganggu saksi seperti yang dirujuk Encik Vincent untuk mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah untuk anak guamnya, kecuali dalam kes Anwar Ibrahim.

“Jumlah yang dimohon pihak pembelaan tidak memadai dan ternyata terlampau rendah. Jika mahkamah berpendapat hujah yang dikemukakan pihak pembelaan adalah betul, maka lebih wajarlah mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 sahaja,” katanya.

Sementara itu, Encik Vincent juga memberitahu mahkamah bahawa laporan polis yang dibuat SPRM berhubung majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Rosmah pada 2006 tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap kes anak guamnya itu. Beliau berkata majlis itu adalah untuk meraikan perkahwinan anak sulung Cik Rosmah, Azrene Soraya Abdul Aziz, tetapi namanya tidak disebut dalam laporan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah mengemukakan laporan polis bagi menunjukkan bahawa Cik Rosmah ada kecenderungan untuk mengganggu saksi.

Hakim Azura kemudian membenarkan Cik Rosmah dikenakan ikat jamin RM2 juta (S$665,800) oleh dua penjamin dan memerintahkannya menyerahkan dua pasport beliau kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Awal dari itu, Cik Rosmah mengangguk dan berkata beliau memohon dibicarakan bagi setiap tuduhan yang dibaca kepadanya.

Apabila tuduhan kesembilan hingga ke-12 dibacakan, beliau memohon untuk melihat kertas pertuduhan dan selepas itu, mengangguk serta meminta dibicarakan bagi semua pertuduhan. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan