Images
  • phil storm
    Gambar: FERDINANDH CABRERA/AFP

Ribut Tropika Tembin: Korban kini capai 200 nyawa, 150 hilang di Filipina

MINDANAO: Sekurang-kurangnya 200 orang maut dan lagi 150 yang lain dilaporkan hilang akibat Ribut Tropika Tembin yang melanda selatan Filipina, menurut polis dan agensi bantuan hari ini (23 Dis).

Malah, pihak berkuasa menyatakan bahawa angka korban dan jumlah mereka yang hilang dijangka akan terus meningkat.

Ribut Tropika Tembin melanda pulau kedua terbesar Mindanao kelmarin (22 Dis), menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat.

Wilayah Lanao dan Zamboanga paling teruk terjejas.

"Air kolam meningkat dan kebanyakan daripada perumahan di tenggelami air. Kampung itu tidak wujud lagi," jawab pegawai polis, Encik Gerry Parami apabila ditanya mengenai keadaan di Lanao.

Di Zamboanga pula, polis tempatan menyatakan bahawa 47 penduduk terkorban manakala 72 lagi dilaporkan hilang.

Sejauh ini, sekurang-kurangnya 70,000 penduduk Mindanao terpaksa dipindahkan, menurut pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Biro Cuaca Filipina menyatakan bahawa Tembin kini bergerak ke barat ke arah pulau Palawan dan dijangka berakhir pada pagi esok (25 Dis).

Kurang seminggu yang lalu, Ribut Tropika Kai-Tak melanda tengah Filipina, mengorbankan 54 nyawa.

Filipina dilanda kira-kira 20 ribut utama setiap tahun, di mana kebanyakannya membawa maut.

Namun ribut dikatakan tidak selalu melanda Mindanao yang didiami 20 juta orang penduduk.

- AFP/UR/sm

Top