Images
  • sand
    Ribut debu di Australia. (Gambar: Greg Wood/AFP)

Ribut debu landa Australia Tenggara; jejas sebahagian bandar Sydney dan Canberra

AUSTRALIA: Ribut debu yang melanda Tenggara Australia sekarang ini menimbulkan kebimbangan mengenai mutu udara di negara itu.

Ribut yang bermula di kawasan pendalaman New South Wales kini meliputi kawasan seluas 500 kilometer dan turut menjejas sebahagian bandar Sydney dan Canberra.

Amaran sudahpun dikeluarkan dan orang ramai digesa supaya tidak meninggalkan rumah mereka.

Penerbangan di Lapangan Terbang Sydney sudahpun ditangguhkan hampir sepanjang hari ini (22 Nov) sedang mutu udara bertambah buruk. Jarak penglihatan sudah berkurang kepada hanya beberapa meter.

Ribut debu itu tercetus apabila tanah kering di sebahagian kawasan ditiup angin yang kencang. Ia diburukkan lagi dengan musim kemarau yang menjejas seluruh wilayah New South Wales sejak Ogos lalu.

Partikel ribut debu sebenarnya lebih halus daripada ribut pasir yang lazim berlaku di negara-negara seperti Timur Tengah. Disebabkan partikelnya yang lebih halus juga, ribut debu boleh naik lebih tinggi dan mencapai jarak lebih jauh. 

- Agensi berita/NT/na

Top