Images
  • tunjuk perasaan wanita
    Gambar: AFP

Ribuan orang tunjuk perasaan gesa henti keganasan terhadap wanita

MADRID: Beribu-ribu penunjuk perasaan turun padang di jalan-jalan raya Eropah dan Amerika Latin pada Khamis (25 Nov) untuk mendesak agar keganasan terhadap wanita dihentikan, dengan polis di Turki melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Tunjuk-tunjuk perasaan itu dianjurkan sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita dengan ribuan orang berarak di Madrid dan Barcelona manakala yang lain berkumpul di Perancis dan London sementara lebih ramai lagi berhimpun di Guatemala dan Honduras.

Para penunjuk perasaan juga dijangka berhimpun di Chile, Mexico dan Venezuela.

Namun, keadaan bertukar menjadi buruk di Istanbul selepas polis rusuhan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan oleh ratusan orang yang menggesa pemerintah menyertai semula perjanjian antarabangsa yang dibentuk untuk melindungi wanita.


Tunjuk perasaan di Ankara. (Gambar: AFP)

Pemerintah Turki menarik diri daripada Konvensyen Istanbul awal tahun ini dengan alasan prinsip-prinsip kesaksamaan jantinanya merosakkan nilai tradisional kekeluargaan. Ini langkah yang mengundang kemarahan para pejuang hak wanita.

Tahun ini sahaja, 345 wanita dibunuh di Turki, menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Di Sepanyol, di mana pemerintah menjadikan perang melawan keganasan rumah tangga sebagai keutamaan nasional, beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan raya di Madrid dan Barcelona dengan bendera ungu manakala yang lain pula berarak di Valencia, Seville dan beberapa bandar lain di negara itu.

Di ibu kota Sepanyol, mereka yang memakai pelitup, topi dan skarf ungu berarak di belakang kain rentang yang tertera tulisan berbunyi: "Cukup sudah keganasan lelaki terhadap wanita. Beri huraian sekarang!"

"Tidak semua hadir di sini, mereka yang sudah dibunuh, tiada," laung para penunjuk perasaan berulang-ulang kali sedang mereka berarak di kawasan air pancut Cibeles dan bangunan-bangunan bersejarah lain yang dipancar dengan lampu ungu, sambil memegang papan-papan tanda berbunyi: "Tidak boleh ada satu lagi kematian sama sekali".

'KESENGSARAAN GLOBAL'

"Di peringkat global, ia kekal sebagai satu kesengsaraan dan masalah besar," kata Cik Leslie Hoguin, seorang pelajar dan pelakon berusia 30 tahun.

"Sepatutnya sudah lama keganasan patriakal terhadap tubuh kami, kehidpuan kami dan keputusan kami dihentikan."

Ramai yang bosan terhadap penganiayaan yang masih membelenggu kaum wanita.

"Kami sakit hati dengan keganasan yang masih berlaku terhadap diri kami dalam pelbagai bentuk," kata Cik Maria Moran, penjawat awam berusia 50 tahun.

"Kita mahu pelacuran dihapuskan dan pembunuhan, penganiayaan serta kes rogol dihentikan."

"Menghapuskan keganasan bersifat seksis adalah keutamaan nasional," tulis Perdana Menteri Pedro Sanchez yang menggelar dirinya sebagai penyokong gerakan wanita dengan kabinetnya didominasi kaum hawa.

"Kita hanya akan menjadi masyarakat saksama apabila kita mengakhiri semua jenis keganasan terhadap wanita."

"HIDUP DALAM BAHAYA"

Sejauh ini dalam tahun ini, 37 wanita di Sepanyol dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka dan seramai 1,118 wanita dibunuh sejak 2003 apabila pemerintah mula mengira jumlahnya.

Hampir satu daripada tiga wanita di merata dunia pernah mengalami kegasanan fizikal atau seksual, sebahagian besarnya oleh seseorang yang dikenali mereka, menurut Wanita PBB, iaitu badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi kesaksamaan jantina.

"Keganasan terhadap wanita adalah krisis sejagat. Di semua kawasan kejiranan kita, terdapat wanita dan kanak-kanak perempuan yang hidup dalam bahaya," kata Pengarah Eksekutif Sima Bahous dalam satu pesanan video. 

- AFP/SM/sm

Top