Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan mangsa tsunami Indonesia bersesak-sesak di pusat perlindungan sementara

Bantuan yang amat diperlukan tiba mencurah-curah pada Selasa (25 Dis) ke kawasan pantai Indonesia yang dilanda tsunami, namun para petugas kemanusiaan memberi amaran bahawa bekalan air bersih dan perubatan tidak mencukupi sedang ribuan yang terselamat berpindah ke pusat-pusat perlindungan sementara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Dec 2018 01:34PM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 12:07AM

CARITA: Bantuan yang amat diperlukan tiba mencurah-curah pada Selasa (25 Dis) ke kawasan pantai Indonesia yang dilanda tsunami, namun para petugas kemanusiaan memberi amaran bahawa bekalan air bersih dan perubatan tidak mencukupi sedang ribuan yang terselamat berpindah ke pusat-pusat perlindungan sementara.

Muncul kebimbangan tentang krisis kesihatan awam sedang bilangan korban bencana pada Sabtu mencecah hampir 400 orang, dengan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

"Ramai kanak-kanak demam, sakit kepala dan kekurangan air," kata Encik Rizal Alimin, seorang doktor yang bekerja dengan NGO Aksi Cepat Tanggap di sebuah sekolah tempatan yang dijadikan pusat perlindungan sementara.

"Kami kurang ubat daripada biasa... Keadaan di sini tidak baik untuk kesihatan mereka. Air tidak mencukupi. Mereka memerlukan makanan dan orang ramai tidur di lantai."

Tsunami dahsyat membadai pada sebelah malam tanpa sebarang amaran, menenggelami pantai-pantai popular di selatan Sumatera dan Jawa barat serta menghempas hotel-hotel dan petempatan di pesisir.

Jumlah korban yang dicatatkan adalah 373 manakala 1,459 yang lain cedera dan lagi 128 hilang.

Para pakar memberi amaran kawasan terjejas mungkin dilanda tsunami lagi.

Lebih 5,000 orang yang melarikan diri kini terlalu takut unuk pulang ke rumah masing-masing. Mereka takut bencana akan berlaku lagi.

"Saya sudah berada di sini selama tiga hari," kata Neng Sumarni, 40 tahun, yang tidur di lantai sebuah sekolah bersama tiga anaknya, suaminya dan lebih 30 orang lain.

"Saya takut kerana rumah saya terletak betul-betul dekat pantai."

Abu Salim, anggota kumpulan sukarelawan Tagana pula berkata para pekerja bantuan sedang bertungkus-lumus cuba memantapkan keadaan.

"Hari ini kami tumpukan usaha kepada membantu mangsa-mangsa di pusat-pusat perlindungan dengan menubuhkan dapur awam dan mengagihkan barang logistik dan khemah di tempat-tempat sesuai," katanya kepada AFP pada Selasa.

"(Orang ramai) masih belum mendapat akses kepada air bersih ... Ramai yang melarikan diri ke kawasan tinggi dan kami belum dapat sampai kepada mereka."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan