Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan mangsa Lombok menunggu bantuan makanan, air bersih

Sejak hari pertama Lombok dilanda gempa bumi, diikuti satu lagi gempa berukuran 6.9 pada skala Richter pada 5 Ogos, mangsa-mangsa yang terdiri daripada penduduk tempatan masih terus menunggu bantuan makanan dan air bersih.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan mangsa Lombok menunggu bantuan makanan, air bersih

Kemusnahan akibat gempa di Lombok pada 5 Ogos (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 Aug 2018 03:46PM Dikemas Kini : 07 Aug 2018 04:03PM

KUALA LUMPUR: Sejak hari pertama Lombok dilanda gempa bumi, diikuti satu lagi gempa berukuran 6.9 pada skala Richter pada 5 Ogos, mangsa-mangsa yang terdiri daripada penduduk tempatan masih terus menunggu bantuan makanan dan air bersih.

Rata-rata, mereka yang ditempatkan di khemah-khemah sementara terpaksa bersabar dan terus berharap agar pihak yang berkenaan, segera menghantar bantuan kepada mereka yang terputus hubungan dengan tanah besar di Mataram.

Apa yang menyedihkan, mangsa-mangsa yang meninggal dunia akibat tragedi tersebut termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, terpaksa dimandikan secara ringkas (darurat), dikafankan dan dikebumikan.

Utusan Online melaporkan bahawa infrastruktur termasuk paip-paip air rosak dalam kejadian gempa bumi selain daripada bekalan elektrik yang terputus.

Sumber Utusan Online di Lombok, Robbie yang merupakan jurupandu kepada pelancong dari Malaysia yang berkunjung ke situ memberitahu, kebanyakan rumah dan bangunan di Lombok runtuh dan musnah akibat gempa yang tidak diduga.

“Sekarang ini, penduduk-penduduk tempatan yang menjadi mangsa gempa bumi yang melanda Lombok amat memerlukan bantuan terutamanya bekalan air bersih untuk minum.

“Mereka juga memerlukan bekalan makanan. Saat ini, penduduk tempatan masih terus menunggu ketibaan bantuan,” beliau memberitahu Utusan Online menerusi WhatsApp.

Robbie turut memberitahu, banyak bangunan runtuh dan rumah-rumah penduduk termasuk rumah kedai musnah dalam tragedi tersebut dan pengusaha kedai tidak dapat beroperasi.

“Keadaan di sini agak ribut dan jika ditanya, bilangan mangsa yang terlibat dalam kejadian gempa bumi ini, rasanya ribuan orang yang terlibat. Ramai dalam kalangan penduduk mencari perlindungan di darat sehinggalah di lapangan terbang walaupun keadaan di lapangan terbang juga padat.

“Sejak semalam, penduduk yang tinggal di Gili dan pelancong yang ada di sana tidak dapat dibawa ke Mataram atau tanah besar kerana ketiadaan bot-bot untuk membawa mereka.

“Makanya ramai yang terkandas di kawasan Gili selain daripada terus menunggu bantuan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau berkata, ada di antara penduduk yang menjadi mangsa gempa bumi tidak berani pulang ke rumah masing-masing kerana yang tinggal hanyalah cebisan runtuhan.

“Ada juga yang ingin membawa keluarga ke Bali untuk mencari perlindungan kerana dirasakan lebih selamat berada di Bali buat ketika ini tetapi tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membawa keluarga ke pulau itu,” ujarnya.

Katanya lagi, sejak kelmarin, dianggarkan 1,000 orang termasuk pelancong dipindahkan dari lokasi tiga pulau kecil (Gili) di Lombok iaitu Gili Air, Gili Meno dan Gili Trawangan (tempat tumpuan pelancong).

“Pemindahan masih lagi dalam proses melalui pengangkutan bas yang disediakan oleh pihak pemerintah Indonesia,” katanya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan