Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan larikan diri dari pertempuran di bandar Myanmar dekat sempadan India

Sebilangan besar penduduk sebuah bandar Myanmar dekat sempadan India melarikan diri setelah bangunan-bangunan terbakar dek bedilan artileri di tengah-tengah pertempuran antara kumpulan militia yang menentang pemerintahan tentera dan pasukan tentera, menurut penduduk serta laporan media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan larikan diri dari pertempuran di bandar Myanmar dekat sempadan India

Penduduk melarikan diri di Chin State, Myanmar pada 31 Mei 2021 di tengah pertempuran antara pemerintah tentera dengan kumpulan penentang. (Gambar fail: Reuters/Stringer)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 08:39AM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 08:44AM

REUTERS: Sebilangan besar penduduk sebuah bandar Myanmar dekat sempadan India melarikan diri setelah bangunan-bangunan terbakar dek bedilan artileri di tengah-tengah pertempuran antara kumpulan militia yang menentang pemerintahan tentera dan pasukan tentera, menurut penduduk serta laporan media tempatan.

Sekitar 10,000 orang biasanya tinggal di Thantlang di wilayah Chin State, namun kebanyakan daripada mereka melarikan diri untuk mencari suaka di kawasan sekitar termasuk di India, kata seorang pemimpin masyarakat.

Di wilayah bersebelahan Mizoram di India, ketua sebuah kumpulan masyarakat awam berkata 5,500 orang dari Myanmar telah tiba di hanya dua daerah selama seminggu yang lalu sedang mereka bergegas melarikan diri daripada tindakan keras tentera.

Myanmar dilanda pergolakan sejak pemerintah yang dipimpin oleh veteran pro demokrasi Aung San Suu Kyi digulingkan pada 1 Februari sekali gus mencetuskan kemarahan, mogok, bantahan dan kemunculan kumpulan militia anti-junta di seluruh negara.

Semasa pertempuran hujung minggu lalu di Thantlang, sekitar 20 rumah terbakar, dengan gambar-gambar di media sosial menunjukkan bangunan-bangunan dijilat api.

Anggota askar menembak mati seorang paderi Kristian yang cuba memadamkan api, lapor portal berita Myanmar Now, namun ia disangkal media rasmi negara.

Global New Light of Myanmar menyatakan kematian paderi itu sedang disiasat serta bahawa anggota askar diserang hendap oleh sekitar 100 "pengganas" dan kedua-dua pihak saling berbalas tembakan.

Salai Thang, seorang pemimpin masyarakat, berkata empat orang awam terbunuh dan 15 cedera dalam konflik selama beberapa minggu dengan tentera juga menggunakan serangan udara setelah sebuah pangkalan tentera diserang.

Pasukan Pertahanan Chin, kumpulan militia yang menentang tentera, menyatakan dalam satu kenyataan 30 anggotanya terbunuh.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas sebarang dakwaan itu dan seorang jurucakap tentera tidak menjawab panggilan untuk memberi ulasan.

Seorang anggota keluarga paderi yang meninggal dunia itu memberitahu Reuters bahawa hanya segelintir penduduk yang tinggal di Thantlang, termasuk sekitar 20 kanak-kanak di sebuah rumah anak yatim.

"Pembunuhan seorang paderi Baptis dan pengeboman rumah-rumah di Thantlang, Chin State adalah contoh terbaru kesengsaraan yang dilakukan setiap hari oleh pasukan junta terhadap rakyat Myanmar," kata Thomas Andrews, pelapor khas PBB bagi hak asasi manusia di Myanmar, dalam satu mesej di Twitter.

Pertumpahan darah di kawasan-kawasan seperti wilayah Chin State semakin meningkat setelah Pemerintah Perpaduan Nasional, sebuah pemerintahan bayangan tersembunyi yang ditubuhkan oleh penentang junta tentera, mengumumkan pemberontakan pada 7 September dan menyeru kumpulan militia yang baru dibentuk untuk menyasarkan junta.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan