Images
  • Myanmar (3)
    Ribuan berarak menentang junta Myanmar, seru 'revolusi musim bunga'. (Gambar: AFP/STR)

Ribuan berarak menentang junta Myanmar, seru 'revolusi musim bunga'

YANGON: Ribuan penunjuk perasaan anti rampasan kuasa berarak di Myanmar hari ini (2 Mei), sambil menyeru bagi "revolusi musim bunga" ketika negara itu memasuki bulan keempat di bawah rejim tentera.

Bandar-bandar, kawasan luar bandar, kawasan pergunungan terpencil dan malah wilayah-wilayah sempadan yang dikuasai pemberontak Myanmar bangkit marah sejak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada 1 Februari.

Junta itu menyasarkan untuk menangkis perbezaan pendapat melalui tindakan kejam yang menyaksikan ramai orang diberkas dan angka kematian yang kian meningkat.

Awal pagi lagi, para menunjuk perasaan berhimpun di hab komersil Yangon sedang para aktivis menggesa peserta menunjukkan kekuatan dan melaksanakan "revolusi musim bunga".

Kumpulan belia berkumpul di sudut-sudut jalan raya sebelum berarak beramai-ramai di jalanan, namun bersurai tidak lama kemudian untuk mengelak bertembung dengan pihak berkuasa.

"Untuk mendapatkan demokrasi adalah perjuangan kita!" luang mereka, sambil menunjukkan isyarat tentangan tiga jari.

"Untuk menumpaskan kepimpinan diktator tentera adalah perjuangan kami!"

Wilayah Mandalay Tengah pula menyaksikan ratusan orang berhimpun di jalan-jalan raya dengan dipimpin oleh sami, sambil mengibarkan bendera parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) Aung San Su Kyi.

Di bahagian utara Shan, belia membawa sepanduk yang tertera: "Kami sama sekali tidak boleh diperintah".

Menjelang pukul 10.00 pagi, keganasan tercetus di bandar Hsipaw, apabila pasukan keselamatan bertindak ke atas para penujuk perasaan, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut.

Menjelang tengah hari, media-media tempatan melaporkan bahawa pasukan keselamatan mengejar penunjuk perasaan dan menangkap mereka.

Letupan bom juga berlaku di beberapa bahagian bandar itu pada sebelah pagi dan terus meningkat.

Pihak berkuasa menyalahkan "para penghasut" atas letupan yang semakin kerap berlaku.

Menurut Persatuan Bantuan bagi Tawanan Politik (AAPP), pasukan keselamatan sudah membunuh 759 orang awam setakat ini.

Namun, junta tentera yang melabel AAPP sebagai pertubuhan tidak sah menyatakan 258 penunjuk perasaan terbunuh, selain 17 pegawai polis dan tujuh askar.

- AFP/NK/nk

Top