Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Restorannya dirompak tapi tiada aduan polis; sebaliknya pemilik tawar kerja kepada perompak

Apabila sesuatu insiden buruk berlaku, kita mempunyai pilihan - sama ada untuk bertindak melulu dan marah-marah atau bertenang dan mengambil jalan positif.

Anggaran Waktu Membaca:
Restorannya dirompak tapi tiada aduan polis; sebaliknya pemilik tawar kerja kepada perompak

Restoran Diablo's Southwest Grill dirompak. (Gambar: Diablo's Southwest Grill/Facebook)

Diterbitkan : 18 Apr 2021 02:56PM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 02:59PM

AMERIKA SYARIKAT: Apabila sesuatu insiden buruk berlaku, kita mempunyai pilihan - sama ada untuk bertindak melulu dan marah-marah atau bertenang dan mengambil jalan positif.

Begitulah jadinya apabila restoran milik Carl Wallace dipecah masuk dan beliau sebaliknya tidak naik berang. Malah, beliau memilih untuk memberi peluang kerja kepada si perompak dan tidak melaporkannya kepada polis.

Pada pagi 3 April lalu, kakitangan restoran Diablo's Southwest Grill milik Encik Wallace, terkejut melihat pintu kaca di restoran itu pecah berderai.

Rupa-rupanya, berlaku rompakan di restoran itu sekitar pukul 4.00 pagi. Insiden seperti itu lazimnya akan membuat mana-mana pemilik restoran naik berang.

Namun Encik Wallace, menyifatkan insiden itu sebagai peluang untuk membantu individu yang dianggap sedang berdepan dengan masalah dan mahu menawarkan pekerjaan kepadanya, menurut laporan laman Bored Panda.

"Kepada si perompak, yang jelas sedang bergelut dengan keputusan kehidupan atau dibelenggu isu kewangan, sila datang ke sini untuk memohon kerja," menurut catatan Encik Wallace di akaun Facebook restorannya.

Catatan itu membuatkan warga siber berasa kagum dengan tindakan Encik Wallace. Ia dikongsi sebanyak 4,900 kali!

Pintu restoran Diablo's itu mungkin sudah retak seribu, tetapi ia menerima pujian demi pujian atas caranya menangani insiden sedemikian.

Apabila dihubungi Bored Panda, Encik Wallace menjelaskan mengapa beliau memilih untuk bersikap belas ihsan kepada orang yang memecah masuk restorannya.

Menurut Encik Wallace, beliau melihat insiden itu sebagai peluang untuk membantu seseorang yang mungkin sedang dihimpit oleh masalah kewangan.

"Reaksi pertama saya adalah marah dan kecewa. Respons emosi yang sesiapa saja pun akan rasa," ujar Encik Wallace.

Beliau bagaimanapun menambah: "Apabila kemarahan saya reda, saya melihatnya dari perspektif yang berbeza."

"Oleh kerana waktu itu hujung minggu cuti Easter, fikiran saya cenderung ke arah kemaafan. Kemudian saya fikirkan tentang bahayanya ke atas perompak itu, dia meletakkan nyawanya dalam bahaya dan dalam kes kami, (dia) tidak memperoleh walau satu sen pun," Encik Wallace memberitahu Bored Panda.

Rakaman kamera CCTV menunjukkan insiden tersebut berlaku sekitar pukul 4.00 pagi di restoran yang terletak di Augusta, Georgia itu.

"Jadi saya memutuskan untuk memuat naik catatan yang menawarkan kepadanya bantuan berbanding langkah biasa yang tidak berkesan meskipun sudah 200 tahun. Jenayah...hukuman penjara...lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan rekod jenayah kerana ia berbalik kepada kehidupan jenayah dan putarannya berulang," jelas Encik Wallace tentang tawaran kerja itu.

Apabila ditanya sama ada kakitangannya sudah dihubungi oleh perompak berkenaan, Encik Wallace berkata malangnya belum lagi, "namun terdapat satu maklumat tentang kes itu daripada seseorang yang tidak diketahui," tambah beliau.

Sejak catatan Facebooknya itu menjadi viral, restoran Diablo's menerima sokongan melimpah-ruah daripada anggota masyarakat yang memuji tindakan berperikemanusiaan yang sangat jarang dilihat pada zaman sekarang ini.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan