Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Restoran di Muar ini tawar pengalaman 'Makan Di Dalam Kelas Sejarah'

Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di pekan Muar pasti tidak akan terlepas pandang sebuah bangunan kedai berwarna kuning terang yang terletak di Jalan Sisi.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran di Muar ini tawar pengalaman 'Makan Di Dalam Kelas Sejarah'

Restoran Rabbit Home Muar Historia. (Gambar: RabbitHomeRestaurant/Facebook)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 11:02PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 11:37PM

MUAR: Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di pekan Muar pasti tidak akan terlepas pandang sebuah bangunan kedai berwarna kuning terang yang terletak di Jalan Sisi.

Terpampang di papan tanda “Muar Historia”, sepintas lalu premis itu tidak ubah seperti kedai antik menerusi susunan pinggan mangkuk lama di dalam almari kaca, selain mural Laksamana Cheng Ho mengalu-alukan ketibaan pengunjung.

Namun jangan terpedaya dengan dekorasi itu kerana premis berkenaan sebenarnya sebuah restoran yang menawarkan pelbagai hidangan yang sinonim dengan Johor selain menjadi antara katerer kegemaran keluarga diraja Johor.

Uniknya, menikmati hidangan seperti mi bandung Muar, mi rebus dan lontong di Restoran Rabbit Home Muar Historia ini umpama “makan di dalam kelas sewaktu pembelajaran subjek Sejarah”.

Ini kerana setiap inci dinding restoran itu dihiasi mural dan tulisan berinformasi tentang sejarah Muar bagi tempoh 1800 hingga 2000, selain susunan barang antik, artifak dan gambar hitam putih tokoh-tokoh ketika era Kesultanan Melayu Melaka memenuhi segenap ruang.

Mengulas dekorasi restorannya yang seakan-akan muzium, James Teo Peng Heng, 45, berkata beliau mahu berkongsi sejarah Muar dengan pelanggan.

“Kita tiada muzium di Muar, jadi dengan mengubah suai restoran ini menjadi tempat menimba ilmu sambil menjamu selera bukan sahaja menawarkan satu kelainan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut Encik Teo, beliau mengubah suai restoran yang diusahakannya sejak 2002 itu pada 2014 selepas satu pertemuan dengan pengumpul barangan bersejarah di Melaka yang “membuka matanya” selaku peminat sejarah dan pengumpul barang antik.

TIGA BULAN SIAPKAN LUKISAN DI DINDING

“Ketika kunjungan itu, saya tertarik dengan satu barang antik dan berminat untuk membelinya, namun si pemilik enggan menjual,” katanya, membuka cerita.

Menurutnya, pemilik berkenaan bertanyakan kepadanya tujuan beliau mahu membeli artifak berkenaan dan beliau gagal memberikan jawapan yang baik sedangkan barang tersebut mempunyai nilai yang tidak terhingga dari segi sejarah.

Salah satu sudut di dalam Restoran Rabbit Home Muar Historia yang mempamerkan artifak sejarah berlatarbelakangkan lukisan mural. (Gambar: RabbitHomeRestaurant/Facebook)

(Gambar: RabbitHomeRestaurant/Facebook)

“Saya (cuma) melihat barang itu sebagai sangat menarik, nampak sangat bersejarah dan mahu membawanya balik. Si pemilik kemudian berpesan kepada saya agar mengenali minat saya dan kemudian memperluas minat tersebut untuk membantu lebih ramai orang di luar sana.

"Ketika itu saya sedar bahawa minat saya lebih kepada meneroka sejarah kerana saya sering tertarik dengan barang-barang bersejarah yang mempunyai seribu satu makna dan cerita di sebaliknya,” ujar beliau.

Encik Teo berkata dari situ juga terdetik di hatinya untuk memberikan kelainan terhadap restoran yang diusahakan beliau, selain memperkenalkan makanan warisan Muar kepada pelanggan.

"Saya menghabiskan masa hampir setahun untuk mengumpul data dan maklumat mengenai sejarah Muar dengan merujuk kepada Arkib Negara, persatuan-persatuan sejarah dan muzium, sebelum mengabadikan fakta tersebut di dinding restoran saya,” ujarnya, menambah usaha beliau dibantu oleh Persatuan Historia Muar Cultural Work.

Katanya sejarah Muar itu dipaparkan secara kronologi, bermula dengan ketibaan Parameswara hinggalah ke zaman Kesultanan Melayu Johor termasuk era pemerintahan Sultan Johor terkini Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut beliau, Muar merupakan titik permulaan dan pengakhiran Kesultanan Melayu Melaka yang bermula dengan ketibaan Parameswara di daerah itu selepas melarikan diri dari Temasek.

"Parameswara bertapak di sini dan terlebih dahulu cuba membina petempatan di Kota Biawak Busuk dan Kota Buruk di daerah ini. Selepas beberapa lama, Parameswara dan pengikutnya kemudian berpindah dan membina kota baharu daripada timbunan tanah dan kayu di satu kawasan yang kini dikenali Kampung Tanjung Selabu, Mukim Sungai Terap,” cerita Encik Teo.

Beliau berkata Kota Biawak Busuk itu masih wujud dan sarang biawak yang dikatakan terletak di jeti sungai di mana Parameswara bertapak ketika tiba di sini juga masih ada.

Cerita beliau lagi, Sultan Mahmud Shah yang merupakan sultan terakhir Kesultanan Melaka, berundur ke Muar selepas empayar Melaka jatuh ke tangan penjajah pada Ogos 1511.

“Malah, Muar satu-satunya daerah di Johor yang ada makam seorang Sultan Melaka yang masih utuh, iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh, selepas makam-makam lain hancur dimusnahkan oleh Portugis,” katanya.

MAHU MUAR DIIKTIRAF TAPAK WARISAN UNESCO

Mengulas perancangan masa depan, Encik Teo berkata beliau berhasrat menaikkan status Muar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kertas cadangan sudah disediakan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Warisan Negara bagi memohon pengiktirafan itu, katanya yang bagaimanapun mengakui usaha tersebut memerlukan kerjasama banyak pihak untuk dijayakan.

“Bagi saya, memang wajar Muar diiktiraf sebagai antara bandar warisan dunia kerana banyak tinggalan sejarah di sini.

“Selain itu, Muar juga menampilkan keharmonian kebudayaan dan warisan tiga bangsa utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India,” jelas beliau.

Menurut Encik Teo, beliau juga mahu mengetengahkan Muar sebagai sebuah bandar yang dapat memupuk perpaduan menerusi tinggalan warisan pelbagai kaum, seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan