Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Restoran di AS yang dituduh usir pelanggan Muslim setuju jalani latihan kepelbagaian

Tujuh wanita memfailkan saman ke atas cawangan Urth Caffe di Pantai Laguna setelah mendakwa mereka diusir pada April 2016 kerana memakai hijab

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran di AS yang dituduh usir pelanggan Muslim setuju jalani latihan kepelbagaian

Empat orang plaintif dan peguam mereka. (Gambar: Los Angeles Times)

Diterbitkan : 16 Jun 2018 11:26PM Dikemas Kini : 16 Jun 2018 11:36PM

LOS ANGELES: Sebuah rangkaian restoran di California yang dituduh mengusir pelanggan beragama Islam diarahkan memberi minuman percuma di hujung Ramadan dan jalani latihan kepelbagaian, menurut sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak kebebasan individu pada Khamis (14 Jun).

Tujuh wanita memfailkan saman ke atas cawangan Urth Caffe di Pantai Laguna setelah mendakwa mereka diusir pada April 2016 kerana memakai hijab, menurut Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU).

"Saya dan rakan-rakan saya mengambil tindakan untuk melihat perubahan dan memastikan sebarang bentuk diskriminasi tidak boleh diterima," kata Sara Farsakh, salah seorang plaintif, melalui satu kenyataan ACLU.

"Saya lega kerana ia membuahkan hasil positif dan berharap apa yang berlaku pada kami, tidak akan diulangi lagi."

Sekumpulan kawan berkenaan, enam daripada mereka memakai hijab, mendakwa mereka sedang meminum kopi dan menikmati pencuci mulut apabila pengurus restoran menyuruh mereka keluar kerana mereka duduk melebihi had masa 45 minit pada waktu sibuk.

Kumpulan wanita itu menunjuk kepada meja-meja kosong yang ada dan sekumpulan pelanggan lain yang semuanya tidak memakai hijab tetapi tidak disuruh keluar dari restoran walaupun sudah duduk di situ lebih lama.

Rakan-rakan Muslim berkenaan mempersoalkan cara mereka dilayan, dan pihak restoran menelefon polis yang kemudiannya meminta mereka beredar.

"Perjanjian penyelesaian hari ini menunjukkan sifat permusuhan terhadap warga Muslim dalam negara ini boleh diatasi," kata Mohammad Tajsar, staf guaman di cabang California Selatan ACLU.

"Orang yang mempunyai hati nurani yang baik, seperti wanita yang mengambil tindakan guaman ini, terus berjaya menentang Islamofobia dalam pelbagai bentuk, sama ada dilakukan oleh pemerintah atau perniagaan privet dalam negara kita."

Urth Caffe bersetuju untuk memastikan dasar peruntukan tempat duduknya dikuatkuasa secara saksama dan supaya keperluan untuk menghormati kepelbagaian pelanggan disertakan dalam buku panduan bagi para pekerjanya.

Rangkaian restoran tersebut juga memberi minuman dan pencuci mulut percuma pada 16 Jun di Pantai Laguna, yang terletak dua jam memandu dari Los Angeles, bagi menandakan Aidilfitri.

Pihaknya juga akan menganjurkan latihan kepelbagaian bagi semua penyelia daerah, yang kemudiannya akan kembali ke kesemua tujuh cawangan rangkaian tersebut di selatan California, untuk berkongsi apa yang mereka pelajari.

Pemilik cawangan di Laguna Beach, Shallom Berkman tidak dapat dihubungi untuk memberi komen namun menyangkal tuduhan bersikap diskriminasi terhadap wanita-wanita tersebut. Beliau juga menekankan bahawa isterinya sendiri seorang Muslim.

Restoran tersebut menolak semua dakwaan dan telah memfailkan tuntutan balas terhadap kumpulan wanita tersebut sebelum penyelesaian dicapai, dan mendakwa wanita tersebut mengganggu perniagaan mereka.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan