Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rempah 'premix' sajian ala M'sia untuk jemaah haji

Pengenalan rempah-ratus 'premix' atau pracampur untuk sajian makanan jemaah haji yang dibawa khas dari Malaysia pada tahun ini bakal memberikan satu pengalaman baru dalam menikmati sajian di Tanah Suci.

Anggaran Waktu Membaca:
Rempah 'premix' sajian ala M'sia untuk jemaah haji

Rempah-ratus premix disediakan awal oleh syarikat-syarikat di bawah FAMA di Malaysia. (Petikan gambar video BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Aug 2018 04:36PM Dikemas Kini : 02 Aug 2018 04:43PM

MAKKAH: Pengenalan rempah-ratus 'premix' atau pracampur untuk sajian makanan jemaah haji yang dibawa khas dari Malaysia pada tahun ini bakal memberikan satu pengalaman baru dalam menikmati sajian di Tanah Suci.

Pengarah Operasi Katering Tabung Haji Adly Mohamed berkata bagi tahun ini, Tabung Haji (TH) membawa rempah-ratus pracampur yang disediakan awal oleh syarikat-syarikat di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) FAMA di Malaysia.

"Dengan rempah-ratus 'premix' ini, kita dapat memendekkan masa untuk memasak kerana kita tidak perlu melakukan kerja-kerja seperti menggoreng bawang atau menumis bahan-bahan lain untuk memasak. Ia seperti menyediakan mi segera, hanya perlu tambah air.

"Dalam penyediaan masakan, kita perlu memastikan proses itu lengkap, bersih dan cepat bagi mengelak makanan tersebut tercemar. Paling penting, menepati cita rasa rakyat Malaysia," kata Encik Adly Mohamed.

Katanya penyelidikan dan pembangunan (R&D) rempah-ratus pracampur itu sudah dijalankan tiga tahun lalu dan mula dilaksanakan sebagai projek perintis pada 2017 sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

MUTU MAKANAN DIJAMIN

Berikutan penggunaan rempah-ratus pracampur berkenaan, beliau berkata tukang masak di Tanah Suci dapat menyediakan hidangan yang mempunyai rasa yang hampir sama dengan sajian masakan di Malaysia untuk para jemaah.

Beliau berkata 28 menu berbeza disediakan untuk hidangan jemaah haji di Makkah manakala di Madinah, 14 menu hidangan akan disajikan kepada jemaah secara bergilir-gilir.

Jemaah juga dinasihati supaya mengikuti panduan masa untuk memakan hidangan yang diberikan seperti yang tertera pada penutup bungkusan makanan bagi mengelak risiko keracunan.

"Pada penutup bekas makanan, tertera peringatan 'baik untuk dimakan dalam tempoh dua jam selepas diedarkan'. Jadi makanlah secepat mungkin kerana kita ingin memastikan kualiti makanan itu tidak tercemar," katanya.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan