Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja kurang upaya bergelut dengan ular sawa seberat 50kg demi selamatkan nyawa ibu

"Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengetepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik."

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja kurang upaya bergelut dengan ular sawa seberat 50kg demi selamatkan nyawa ibu

Gambar hiasan ular sawa. (Gambar hiasan: Joe Raedle/AFP)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 11:07PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 11:09PM

BALING: "Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengetepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik."

Itu luahan seorang remaja OKU masalah pembelajaran, Muhammad Rasul Abdullah yang berusia 16 tahun kepada Astro AWANI. Beliau mengulas tentang penganugerahan pingat Hang Tuah kepadanya sempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Selasa (5 Nov).

Pada hujung Mei lalu, Muhammad Rasul muncul sebagai wira apabila menyelamatkan nyawa ibunya, Cik Halipah Othman, 47 tahun, yang dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram di kediaman mereka dekat Kampung Ulu Tawar, Baling, Kedah.

Mengimbas kembali peristiwa tersebut, Muhammad Rasul bertindak memotong bahagian tengah ular sepanjang enam meter itu dengan bantuan adiknya, Mohd Aziz, 15 tahun, dan sepupunya, Mohd Shafizal Ismail, juga 15 tahun.

Dalam insiden sekitar pukul jam 11.00 malam itu, ketiga-tiga remaja berkenaan sedang bermain di kawasan luar rumah sebelum terdengar jeritan ibu Muhammad Rasul dari dapur.

Sejurus terdengar jeritan itu, Muhammad Rasul berkata mereka bertiga bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat seekor ular sawa batik membelit ibunya sehingga ke paras dada.

Melihat ibunya sedang bertarung nyawa, Muhammad Rasul menceritakan kepada Astro AWANI bahawa sepupunya cuba melepaskan belitan ular pada bahagian ekor manakala adiknya pula mendapatkan bantuan daripada jiran tetangga terdekat.

Ketiga-tiga remaja tersebut terpaksa bergelut hampir setengah jam sebelum Muhammad Rasul bertindak menetak bahagian tengah ular batik berkenaan sehingga hampir putus, dengan bantuan penduduk kampung.

Ular yang ditetak itu mati tidak lama kemudian sementara ibu Muhammad Rasul pula, yang terlepas daripada reptilia berkenaan, tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Kami fikir (ketika itu) hanya nak bagi mak lepas daripada (dibelit) ular itu sebab mak memang tidak boleh buat apa-apa waktu itu," ujar Muhammad Rasul ketika mengimbau pengalaman yang dilaluinya.

Muhammad Rasul menambah sekalipun kejadian itu sudah lima bulan berlalu, namun tidak mungkin beliau dapat melupakan detik cemas tersebut.

Dalam masa sama, Muhammad Rasul berharap kejadian itu akan menjadi pengalaman pertama dan terakhir buatnya.

Remaja OKU berkenaan juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk JKM atas anugerah yang diterimanya.

Beliau berharap anugerah yang diterimanya itu akan menjadi teladan kepada remaja lain supaya menabur bakti kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup, tanpa mengira keadaan. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan