Images
  • twitter hacker
    (Gambar: Hillsborough County Sheriff's Office via AP)

Remaja 17 tahun didakwa jadi dalang godam akaun Twitter berprofil tinggi

WASHINGTON: Seorang remaja lelaki 17 tahun dari Florida, Amerika Syarikat mendalangi penggodaman akaun selebriti di Twitter Inc, termasuk calon presiden parti Democrat Joe Biden dan Ketua Eksekutif Tesla Elon Musk, kata pegawai pada Jumaat (31 Jul).

Seorang remaja warga Britain 19 tahun dan lelaki berusia 22 tahun di Orlando, Florida juga didakwa di bawah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat kerana membantu serangan itu, dedah Jabatan Kehakiman.

Peguam Negara Florida mengenal pasti lelaki berusia 17 tahun itu sebagai Graham Clark dari Tampa dan mendakwanya sebagai pesalah dewasa dengan 30 tuduhan penipuan. Clark memperoleh sekurang-kurangnya AS$100,000 (S$137,520) dari penipuan tersebut dengan menggunakan akaun selebriti untuk menarik pelaburan dari pengguna Twitter yang terpedaya.

"Dia budak 17 tahun yang baru lulus sekolah tinggi," kata Peguam Negara Florida, Andrew Warren di Hillsborough County, "Tetapi jangan terperdaya: Ini bukan remaja 17 tahun yang biasa."

Mason Sheppard, 19 tahun dari Bogner Regis, Britain yang menggunakan nama samaran Chaewon, dituduh melakukan penipuan menerusi pengiriman wang dan pengubahan wang haram manakala Nima Fazeli, 22, yang berpangkalan di Orlando, dituduh membantu dan bersubahat dengan jenayah tersebut, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.

Twitter menyatakan pihaknya menghargai "tindakan pantas penguatkuasaan undang-undang".

Clark dan salah seorang tertuduh lain berada dalam tahanan, kata para pegawai.

Dalam penggodaman tersebut, mesej twitter palsu untuk memancing pelaburan dalam bentuk mata wang digital bitcoin dihantar pada pertengahan bulan Julai oleh 45 akaun disahkan Twitter, termasuk akaun yang dimiliki oleh Encik Biden, mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan hartawan Bill Gates.

Twitter menyatakan bahawa penggodam juga berkemungkinan membaca beberapa pesanan termasuk kepada seorang pegawai Belanda.

Clark berjaya memperoleh lebih AS$100,000 (S$137,520) dengan cara itu, menurut sebuah buku akaun awam bitcoin.

Twitter menyatakan kakitangannya diperdaya untuk berkongsi butiran pengesahan akaun.

"Mereka 'merampas' ratusan akaun Twitter berprofil tinggi ini pertengahan Julai lalu selepas mendapat akses dengan memperdaya beberapa kakitangan Twitter menerusi 'spear phishing' bagi mendedahkan kata laluan mereka," kata Twitter.

- Reuters/TQ/tq

Top