Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja 15 tahun cedera ditembak cuba langgar polis dengan kereta

Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun cedera ditembak di bahu kiri ketika cuba melanggar seorang anggota polis dalam satu kejadian di Kedai Lalat di Kota Bharu, Kelantan, awal pagi ini (2 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 15 tahun cedera ditembak cuba langgar polis dengan kereta

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 05:41PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 05:43PM

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun cedera ditembak di bahu kiri ketika cuba melanggar seorang anggota polis dalam satu kejadian di Kedai Lalat di Kota Bharu, Kelantan, awal pagi ini (2 Dis).

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.05 pagi itu, suspek yang merupakan pemandu bersama seorang remaja berusia 17 tahun dan seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kancil selepas diarahkan berhenti oleh pasukan peronda.

Beliau berkata anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas mengekori kenderaan suspek, pasukan peronda kemudiannya mengarahkan mereka supaya berhenti namun tidak diendahkan sebelum suspek bertindak membuat pusingan U berdekatan sebuah masjid di kawasan berkenaan.

"Anggota ronda kemudian mengejar suspek dan memotong kenderaan yang dinaiki mereka sebelum seorang anggota polis berpangkat Koperal keluar dari kenderaan ronda untuk menghentikan kenderaan dinaiki suspek," katanya kepada para pemberita hari ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Mengulas lanjut, Encik Hasanuddin berkata bagaimanapun suspek cuba merempuh anggota polis yang cuba menahan mereka sebelum anggota polis tersebut tergelincir dan terjatuh.

"Tindakan suspek yang masih tidak menghentikan kenderaan menyebabkan anggota polis yang terjatuh itu melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki suspek.

"Anggota polis kemudiannya bertindak memecahkan cermin tempat duduk pemandu dan menarik keluar pemandu kenderaan itu dan pemeriksaan awal mendapati suspek telah tercedera pada bahu kiri akibat terkena tembakan," katanya.

Beliau berkata suspek yang tercedera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Siasatan lanjut secara terperinci akan dilakukan oleh pihak kami bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan