Remaja 14 tahun wira insiden gua Tham Luang kerana fasih berbahasa Inggeris
Adul Sam-on, salah seorang mangsa yang terperangkap dalam gua Tham Luang muncul sebagai wira dalam misi menyelamat yang berakhir dengan jayanya pada Selasa (10 Jul).
BANGKOK: Adul Sam-on, salah seorang mangsa yang terperangkap dalam gua Tham Luang muncul sebagai wira dalam misi menyelamat yang berakhir dengan jayanya pada Selasa (10 Jul).
Remaja berusia 14 tahun itu fasih dalam lima bahasa - Inggeris, Thai, Myanmar, Mandarin dan Wa, bahasa yang digunakan di sempadan Myanmar-China.
Keupayaannya inilah yang memainkan peranan penting kerana ia membolehkan komunikasi antara pasukan penyelam Britain dengan kanak-kanak lain yang terperangkap.
Tanpa Adul, para mangsa tidak akan dapat menyampaikan tentang apa yang diperlukan mereka dalam gua tersebut.
Unit SEAL Tentera Laut Thai mengongsi gambar Adul yang menunjukkan beliau tersenyum lebar, meskipun baru sahaja melalui pengalaman yang mengerikan.
"Saya Adul, saya dalam keadaan sihat," kata remaja itu dalam video yang tular beberapa jam selepas kumpulan itu ditemui.
Adul satu-satunya mangsa yang fasih dalam Bahasa Inggeris dalam negara di mana kurang 30 peratus penduduk memahami bahasa itu.
ADUL PELAJAR CEMERLANG
Adul lahir dalam keluarga miskin. Ibu bapanya meninggalkannya di bawah jagaan paderi gereja lapan tahun lalu akibat kemiskinan.
Lahir di wilayah Wa berhampiran Myanmar, peluang pendidikan dan pekerjaan amat terbatas. Sebaliknya wilayah ini terkenal dengan pengedaran dadah dan perang gerila.
Namun, di sebalik kesusahan itu, Adul bertekad untuk berjaya, malah jauh mengatasi rakan sedarjahnya.
Adul digambarkan rakan dan gurunya sebagai seorang yang mahir dalam segala perkara.
Selain dikenali sebagai pelajar bijak di sekolahnya, beliau mahir bermain tiga alat muzik, menang pelbagai trofi dalam setiap jenis sukan dari bola tampar ke futsal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.