Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rayuan Dr Zakir Naik bagi pemindahan kes saman ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditolak

Mahkamah Rayuan di Malaysia hari ini (13 Ogos) menolak rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Baru Uban S.Raveentharan memindahkan perbicaraan saman fitnah ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan Dr Zakir Naik bagi pemindahan kes saman ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditolak

Dr Zakir Naik tiba di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, 22 Ogos 2019. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Aug 2021 04:42PM Dikemas Kini : 13 Aug 2021 04:45PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di Malaysia hari ini (13 Ogos) menolak rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Baru Uban S.Raveentharan memindahkan perbicaraan saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas itu terhadapnya dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Panel tiga anggota yang terdiri daripada Yaacob Md Sam, M.Gunalan dan Hashim Hamzah hari ini membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili S.Raveentharan berhubung ketidakpatuhan peruntukan mandatori oleh peguam peguam Dr Zakir.

Hakim Yaacob yang mengetuai panel itu berpendapat bahawa rayuan Dr Zakir tidak memuaskan kerana tidak mematuhi Peraturan 18 (6) Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

"Kami berpandangan bahawa Peraturan 18 (6) adalah bersifat mandatori. Ia harus dipatuhi oleh semua pihak. Tidak ada pengecualian terhadap pematuhan Peraturan ini," katanya, sambil menambah bahawa ada merit dalam bantahan awal.

Mahkamah juga menolak rayuan balas Raveentharan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan keabsahan afidavit Dr Zakir.

Dalam prosiding pendengaran rayuan yang berlangsung secara maya, peguam Raveentharan, Kernail Singh berhujah bahawa rayuan itu sudah menjadi batal kerana tidak ada rekod rayuan yang teratur difailkan kerana peguam Dr Zakir tidak memberikan mereka indeks draf rekod rayuan.

Kernail Singh berkata Peraturan 18 (6) adalah wajib, dan peruntukan mandatori yang perlu dipatuhi oleh peguamcara perayu. Turut mewakili Raveentharan adalah peguam Datuk Tharumarajah Thiagarajan.

Peraturan 18 (6) menetapkan bahawa draf indeks dokumen mesti disertakan dalam rekod rayuan dan dihantar oleh peguam cara pemohon kepada peguam cara responden atau (jika lebih dari satu) salah seorang daripadanya, yang boleh dalam tempoh 48 jam membantah terhadap penyertaan atau pengecualian mana-mana dokumen.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr Zakir berkata pada waktu yang berkenaan, responden mempunyai salinan rekod rayuan, semuanya yang diperlukan sudah dimasukkan ke dalam rekod rayuan.

Pada 12 Disember 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Oktober tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa lima kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran itu.

Dr Zakir mendakwa lima kenyataan yang dimuat naik itu menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia selain mendakwa kenyataan itu tidak berasas dan palsu.

Oleh itu, plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya defendan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan perbicaraan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang turut mewakili Dr Zakir ketika dihubungi berkata beliau akan menfailkan penangguhan bagi merayu kepada Mahkamah Rayuan, memandangkan rayuan mereka ditolak atas alasan teknikal dan merit rayuan itu tidak didengar.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan