Images
  • thai
    Lebih 2.3 juta rakyat Thailand dijangka keluar mengundi sebelum hari rasmi mengundi pada 24 Mac 2019. (Gambar: Lilian Suwanrumpha/AFP)

Ratusan ribu rakyat Thailand lakukan undian awal

BANGKOK: Beratus-ratus ribu pengundi berhimpun di sekolah-sekolah, tempat letak kereta dan kuil di merata Thailand hari ini (17 Mac) untuk membuat undian awal, seminggu sebelum pilihan raya umum negara itu diadakan buat pertama kali dalam lapan tahun.

Lebih 2.3 juta rakyat Thailand dijangka keluar mengundi sebelum hari rasmi mengundi pada 24 Mac.

Sejak bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2014, kerajaan tentera Thailand sudah berkali-kali menangguhkan pilihan raya demokratik yang mencetuskan kemarahan rakyat negara itu.

"Akhirnya, saya berpeluang mengundi setelah menunggu sekian lama," kata Paka Kaengkhiew, 48 tahun, semasa beratur di depan pejabat daerah Phra Khanong di Bangkok.

Di daerah Dusit iaitu tempat pejabat tentera dan bangunan kerajaan, para pengundi berhimpun di sebuah perkarangan sekolah sambil menanti pusat mengundi dibuka.

Para pengundi yang datang berpakaian seragam tentera, hospital dan biasa - menanti untuk membuat undian.

Lebih 51 juta rakyat Thailand layak untuk mengundi dalam pilihan raya umum pada 24 Mac, yang akan dilaksanakan di bawah perlembagaan tentera yang baru.

Para penganalisis berkata sistem pilihan raya baru lebih memihak kepada parti pro tentera yang diterajui Encik Prayut Chan-O-cha, yang akan bertanding sebagai perdana menteri pemerintahan awam selepas kerajaan dibentuk.

Bagaimanapun, para pengundi yang keluar mengundi hari ini (17 Mac) berharap untuk melihat perubahan.

"Saya mengundi hari ini dengan harapan bagi perubahan yang lebih baik," kata Mart Bupa, 53 tahun.

- AFP/AI/ai

Top