Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ratusan kembali berhimpun luar parlimen Hong Kong dalam bantahan baru

Ratusan orang berhimpun di luar bangunan utama pemerintah Hong Kong pada Jumaat (21 Jun) untuk mengadakan bantahan ke atas keengganan pemimpin pro-Beijing untuk memenuhi tuntutan para penunjuk perasaan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jun 2019 10:48AM Dikemas Kini : 21 Jun 2019 09:33PM

HONG KONG: Ratusan orang berhimpun di luar bangunan utama pemerintah Hong Kong pada Jumaat (21 Jun) untuk mengadakan bantahan ke atas keengganan pemimpin pro-Beijing untuk memenuhi tuntutan para penunjuk perasaan sebelum ini.

Bantahan terbaru itu menyusuli satu tunjuk perasaan besar-besar yang berlaku dalam tempoh seminggu, melibatkan jutaan orang yang membantah rang undang-undang yang membenarkan penduduk Hong Kong diekstradisi ke China. Bagaimanapun gerakan tersebut kini berubah menjadi bantahan terhadap pemerintah wilayah Hong Kong secara amnya.

Para penunjuk perasaan menuntut pemerintah menarik balik sepenuhnya rang tersebut dan pemimpin bandar hab kewangan antarabangsa itu, Carrie Lam meletak jawatan.

Mereka mula berhimpun di kompleks tersebut pada sekitar 7.00 pagi, kebanyakannya memakai serba hitam.

Para penunjuk perasaan yang secara amnya tidak diketuai mana-mana pihak, diajak "berkelah" di luar bangunan pemerintah.

Para penganjur juga menyeru agar bantahan "bergerak perlahan" diadakan di jalan-jalan raya dan pengangkutan awam dan mengajak penduduk di merata bandar untuk menunjukkan sokongan.

Sebahagian mereka yang berada di kompleks pemerintah membawa sepanduk yang menyeru pihak polis agar tidak menembak mereka, merujuk kepada keganasan yang tercetus minggu lalu antara pegawai keselamatan dan penunjuk perasaan.

Selain peletakan jawatan Cik Lam dan penarikan semula rang undang-undang, para penunjuk perasaan juga menuntut agar mereka yang ditahan semasa pertembungan minggu lalu supaya dibebaskan dan siasatan dijalankan ke atas dakwaan keganasan oleh pihak polis.

"Pemerintah masih belum memberi sebarang reaksi kepada tuntutan kami. Setelah berhari-hari... mereka masih berbual kosong dan menolak tanggunjawab antara satu sama lain," seorang penunjuk perasaan Poyee Chan, 28 tahun, memberitahu AFP.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan