Images
  • hong kong
    Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver pada Ahad. (Gambar: Don MacKinnon/AFP)

Ratusan di Vancouver bantah pelan ekstradisi Hong Kong

VANCOUVER: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver pada Ahad (9 Jun) bagi membantah rancangan membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China yang mencetuskan kontroversi.

“Pindaan ini akan menjejaskan jutaan penduduk, bukan saja di Hong Kong malah di seluruh dunia,” kata penganjur bantahan, Encik Mabel Tung yang juga pengerusi Persatuan Vancouver dalam Menyokong Gerakan Demokratik.

Tung yang berhijrah ke Kanada dari Hong Kong 40 tahun lalu dan berjuang menentang pelanggaran hak asasi manusia di China, bimbang aktivis sepertinya bakal berdepan risiko ekstradisi sebaik mereka melakukan persinggahan di Hong Kong sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.

Beberapa penunjuk perasaan turut membawa sepanduk menggesa pembebasan dua warga Kanada, Encik Michael Kovrig dan Encik Michael Spavor yang ditahan di China menyusuli penahanan eksekutif kanan Huawei, Meng Wanzhou, Disember lalu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dan payung kuning sebagai lambang mengenang kembali siri bantahan pro-demokrasi pada 2014 di Hong Kong yang dikenali sebagai ‘Gerakan Payung’.

Ribuan pendatang dari Hong Kong menetap di Vancouver pada 1980an dan 1990an disebabkan keadaan tidak menentu akibat penyerahan semula pentadbiran Hong Kong dari Britain kepada China pada 1997. 

- AFP/NA/na

Top