Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

“Rasa kemanusiaan perlu, tanpa kira ikutan” – masyarakat Sulawesi Tengah tabah bangun semula

Lebih 900 mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah sudah selamat dikebumikan di Taman Pemakaman Umum Poboya Indah.

Anggaran Waktu Membaca:

PALU, SULAWESI: Lebih 900 mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah sudah selamat dikebumikan di Taman Pemakaman Umum Poboya Indah.

Sejak bencana kembar melanda Palu pada 28 September lalu, berpuluh-puluh mayat, yang ditemui di pantai Talise serta kampung Balaroa dan Petobo, dibawa ke tanah perkuburan itu setiap hari untuk dikebumikan.

Dari pagi hingga ke larut malam, para relawan bertungkus lumus memastikan jenazah yang dibawa ke sana dikebumikan sebaik mungkin.

“Ada yang dibawa oleh anggota keluarga ke sini manakala yang lain diangkut trak secara beramai-ramai,” kongsi Pak Mansur, 51 tahun, ketua sebuah kumpulan relawan di Palu.

MAYAT REPUT, PERLU BERHATI-HATI URUSKANNYA

Menurut beliau lagi, mangsa-mangsa yang berjaya dikenal pasti dikebumikan seperti biasa, manakala jenazah yang tidak dapat dipastikan identitinya diuruskan secara beramai-ramai.

Rata-rata jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan di kawasan terpencil ini hampir reput dan perlu diuruskan dengan berhati-hati.

(Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Antara jenazah-jenazah yang dikebumikan. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Maka itu, pasukan yang bekerjasama dengan Pak Mansur perlu tekun mengendalikan tugas, meskipun ini merupakan kali pertama mereka melakukan tugas sedemikian rupa.

RELAWAN MUDA DARI DAERAH LAIN TURUT TABUR BAKTI

Turut membanggakan memandangkan sebahagian besar anggota kumpulan relawan tersebut adalah anak muda yang sebenarnya bukan berasal daripada daerah itu.

“Jika pedulikan kehidupan sosial, seseorang akan menganggap semua manusia seperti saudaranya sendiri. Oleh itu, tercetus dalam diri kami keinginan untuk menyahut seruan menjadi relawan bagi membantu teman-teman kami di Sulawesi Tengah ini,” kata Andik, 25 tahun, penduduk Sulawesi Selatan.

Beliau merupakan salah seorang anggota Rangkaian Pemuda Bahari yang menyumbang 20 relawan bagi membantu menguruskan jenazah di Palu. Seramai 12 anggota dikerahkan ke sana sebaik sahaja mereka dimaklumkan tentang musibah yang menimpa, manakala baki lapan lagi menyusul kemudian.

Mas Andik (kiri) dan rakannya (kanan) dari Rangkaian Pemuda Bahari. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Gambar Mas Andik (kiri) dan rakannya (kanan) dari Rangkaian Pemuda Bahari. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

SESETENGAH RELAWAN ALAMI TRAUMA

Dengan keadaan jenazah yang tidak sempurna akibat dilanda bencana alam yang dahsyat, rasa kurang selesa ketika menjalankan tugas tidak dapat dielakkan. Andik menceritakan bagaimana sesetengah relawan mengalami trauma selama beberapa hari.

Sungguhpuh demikian, nasihat dan kata-kata pembakar semangat daripada ketua mereka, Pak Mansur, dijadikan pedoman untuk meneruskan tugas dan amanah:

“Kita manusia saling tolong-menolong. Kalau kita sudah meninggal dunia, siapa yang usung kita ke kubur? Tidak ada mayat yang berjalan sendiri. Rasa kemanusiaan itu perlu tanpa kira ikutan.”

Pak Mansur. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Ketua kumpulan relawan, Pak Mansur. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

HANYA TINGGAL KENANGAN

Yang jelas, tekad dan kesungguhan kumpulan relawan itu amat dikagumi.

Walaupun sudah lebih dua minggu sejak Palu digegarkan dengan gempa dahsyat dan ombak besar tsunami, mereka tetap menunggu jenazah-jenazah dibawa ke sana kerana ramai lagi anggota keluarga yang masih mencari anggota keluarga yang hilang.

Hakikatnya, beratus-ratus lagi masih belum ditemui. Malangnya, mereka mungkin hilang buat selama-lamanya. Ini lebih-lebih lagi setelah operasi mencari dan menyelamat dihentikan hari ini (12 Okt).

Bagi Adi, 28 tahun, ini bermakna beliau tidak berkesempatan menemui dan mengebumikan jasad rakan-rakan sehalamannya dari Petobo, iaitu antara yang paling teruk terjejas.

Mas Adi (kiri) bersama wartawan BERITAmediacorp, Said Mahadi Said Iziddin. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Gambar Mas Adi (kiri) bersama wartawan BERITAmediacorp, Said Mahadi Said Iziddin. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

“Kalau di daerah Palu Barat, di Balaroa, sudah ada sesetengah yang berjaya diketemui. Di sini, belum ada khabar. Ada khabar tapi masih simpang-siur. Katanya ada yang dilihat berpelukan dengan bapanya, tenggelam ke dalam tanah. Ada yang juga dilihat naik motor untuk melarikan diri tetapi untuk mendapatkan kepastian khabar atau jenazah itu belum didapati hingga hari ini,” kata Adi sambil menahan sebak. 

Sebahagian besar kampung ditelan bumi apabila gempa yang berlaku menjadikan tanah seperti pasir jerlus dalam satu proses yang dipanggil pencecairan tanah.

“Masyarakat yang lari, yang mampu melarikan diri, hanya sebahagian daripada jumlah masyarakat yang ada di sini - kurang separuh. Hebatnya, tanahnya itu, pada saat gempa, turun seperti tsunami – dari atas. Kemudian tanahnya terbuka, rumahnya masuk kemudian tertutup lagi, terbuka lagi sampai tanahnya itu bergeser ke arah selatan,” imbas Adi.

(Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Kemusnahan di Petobo. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

Agensi Bencana Indonesia menyatakan pihaknya sejauh ini sudah menemui hampir 2,000 mangsa menyusuli gempa bumi sekuat 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Sulawesi, dengan beribu-ribu lagi dipercayai masih hilang. Khususnya di kampung Balaroa dan Petobo, terdapat sekitar 5,000 orang yang sehingga sekarang masih belum ditemui, menurut jurucakap agensi Sutopo Purwo Nugroho.

ANGKA KORBAN MUNGKIN JAUH LEBIH TINGGI

Adi pula percaya bahawa angka korban sebenarnya jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan pemerintah. Katanya, jumlah yang tertimbus mungkin lebih ramai.

“Saya pernah menganggotai pertubuhan menghitung bilangan penduduk bagi mengumpul statistik untuk pilihan raya tahun depan. Dilaporkan seramai 3,000 tertimbus tanah (di Petobo) tetapi saya yakin angkanya lebih tinggi,” tambah beliau yang banyak meluangkan masa mendaki gunung-gunung berhampiran kampung itu.

(Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Kemusnahan di Petobo. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Adi turut berkongsi bahawa tragedi yang menimpa adalah cabaran yang perlu ditempuhi dengan hati yang tabah. Lantas, pemuda ini menanam semangat untuk meneruskan kehidupan.

Semasa diwawancara oleh BERITAmediacorp, Adi sering berseloroh. Katanya, ia agar "tidak dihambat rasa duka".

“Saya sedih tetapi tidak mahu keterlaluan. ‘We must move on’,” ujar pemuda penuh inspirasi itu.

Semangat kental masyarakat Palu begitu menyerlah dalam mengharungi masa-masa sukar ini, sedang para penduduk di Sulawesi Tengah itu bersiap sedia menyambut pengumuman yang operasi mencari dan menyelamat akan beralih ke fasa pemulihan dengan reda dan tabah. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan