Images
  • gaza
    Tamer al-Sultan yang, berdasarkan laporan doktor, meninggal dunia akibat barah darah. (Gambar: Khalil Hamra, AP)

Ramai warga Palestin berhijrah ke luar negara ekoran sekatan ekonomi lebih sedekad

BEIT LAHIYA, GAZA: Masalah ekonomi dan kurangnya pekerjaan di Gaza mendorong semakin ramai penduduk Palestin mencuba nasib di luar negara.

Namun apa yang lebih membimbangkan, Gaza mungkin kehilangan lebih ramai doktor, peguam, guru dan pemikir yang akan menjejas rancangan membentuk negara Palestin pada suatu hari nanti.

Tamer al-Sultan, 38 tahun, tinggal di rumah dua tingkat bersama isteri dan tiga orang anak serta memiliki sebuah kedai farmasi. Beliau bagaimanapun berasa terperangkap di tanah airnya sendiri.

Tamer nekad meninggalkan keluarganya demi memulakan kehidupan baru di Eropah.

Jejak langkahnya itu semakin banyak diikuti golongan kelas pertengahan Gaza yang tidak lagi sanggup hidup di kawasan yang terasing daripada masyarakat dunia.

Sekatan ekonomi sejak 12 tahun lalu oleh Israel dan Mesir menjadi punca utama mereka mencuba nasib di negara lain tetapi perjalanan Tamer ke Eropah berkesudahan dengan kematiannya di Bosnia.

Menurut laporan doktor, beliau meninggal dunia kerana barah darah tetapi laporan itu tidak dapat disahkan.

Tanpa saluran yang sah, ramai penduduk Gaza menuju ke Mesir sebelum ke Turki dan kemudian menaiki bot ke Greece.

Lebih separuh penduduk Gaza kini menganggur dengan sekitar 80 peratus bergantung kepada bantuan makanan dan tiada bekalan air yang selamat untuk diminum.

Mohammad Awad yang baru tamat pengajian ijazah dalam teknologi maklumat juga kini menganggur. Beliau mengakui keadaan sekarang semakin mendesaknya agar meninggalkan sahaja tempat kelahirannya itu. 

- AP/MU/fz

Top