Images
  • gabon attack
    Polis soal siasat pedagang dan penjaja di pasar di mana kejadian berlaku. (Gambar: STEVE JORDAN/AFP)

Rakyat Nigeria tikam 2 kakitangan National Geographic

LIBREVILLE, Afrika Tengah: Polis di Gabon menangkap berpuluh-puluh orang menyusuli satu serangan tikaman yang mencederakan dua rakyat Denmark yang bekerja untuk National Geographic. Serangan tersebut didakwa adalah tindak balas kepada “serangan AS (Amerika Syarikat) terhadap orang Muslim,” kata para pegawai.

Lelaki-lelaki yang ditahan semalam (17 Dis) kebanyakannya pedagang dan penjaja di sebuah pasar yang popular di Libreville di mana serangan itu berlaku pada hari sebelumnya (16 Dis). Kesemuanya datang daripada bahagian barat Afrika.

Seorang pegawai berkata bahawa mereka dibawa ke ibu pejabat polis di mana mereka akan disoal siasat.

“Operasi sedang dijalankan,” kata jurucakap pemerintah Alain-Claude Bilie By Nze kepada AFP. “Kami tidak mahu memberi komen buat masa ini.”

National Geographic mengesahkan bahawa mangsa-mangsa serangan tersebut bekerja dengan pertubuhannya.

“Kami dengan dukacitanya mengesahkan laporan-laporan bahawa dua rakyat Denmark yang diserang secara kejam di Gabon adalah anggota keluarga National Geographic,” menurut pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan.

“Kami sedang menghubungi mangsa-mangsa berkenaan secara langsung termasuk syarikat penerbitan Denmark, dan keutamaan kami adalah untuk membantu dalam proses pemulihan mereka dan kepulangan mereka dengan selamat ke Denmark.”

Polis menyatakan bahawa penyerang merupakan seorang lelaki Nigeria yang berusia 53 tahun yang menurut saksi melaungkan slogan keagamaan semasa melakukan serangan. Lelaki tersebut yang sudah menetap di Gabon selama 19 tahun berkata dalam kenyataan awalnya bahawa dia “melakukan serangan untuk membalas serangan AS terhadap orang Muslim dan pengiktirafan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel oleh Amerika,” kata Perdana Menteri Etienne Massard.

Para penduduk berkata bahawa lelaki tersebut datang daripada masyarakat Hausa/Fulani di utara Nigeria dan menjual daging salai di bandar dan di pasar berkenaan.

“Kami masih mengumpulkan maklumat,” kata Encik Bilie By Nze.

Pasar di Libreville yang popular di kalangan pelancong ditutup menyusuli insiden tersebut sehingga Ahad ini (27 Dis) dengan para pengawai keselamatan menjaga pintu dan pagar pasar berkenaan.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa serangan itu mungkin bermotif politik tetapi belum lagi mengklasifikasikannya sebagai serangan pengganas.  

- AFP/SM/sm

Top