Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat Mesir masih berebut beli juadah buka puasa di tengah wabak COVID-19

Di tengah-tengah ibu kota Mesir, para pembeli-belah berpusu-pusu membanjiri kedai-kedai manisan dan kedai-kedai runcit untuk membeli juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa menghiraukan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Mesir masih berebut beli juadah buka puasa di tengah wabak COVID-19

Sebahagian penduduk Mesir kelihatan berpusu-pusu ke kedai membeli juadah berbuka puasa ada 30 Apr 2020 (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 May 2020 12:45PM Dikemas Kini : 07 May 2020 12:53PM

KAHERAH: Di tengah-tengah ibu kota Mesir, para pembeli-belah berpusu-pusu membanjiri kedai-kedai manisan dan kedai-kedai runcit untuk membeli juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa menghiraukan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.

Lebih sebulan sejak Mesir menguatkuasakan langkah-langkah yang ketat untuk membendung penularan virus tersebut, resam masyarakat dan tekanan ekonomi mendorong orang ramai keluar berbelanja meskipun jumlah kes baru virus korona terus meningkat.

Pemerintah sedang mengadakan kempen di akhbar-akhbar dan papan-papan iklan untuk menggalak jarak sosial. Ia juga menutup kafe dan restoran di samping menguatkuasakan perintah berkurung pada sebelah malam.

Namun perintah berkurung yang dikuatkuasakan itu mendorong ramai orang untuk berbelanja pada siang hari sedang ramai membuat persiapan untuk berbuka puasa pada pukul 6.30 petang waktu tempatan.

Para pemilik kedai pula kerap berdepan dengan masalah untuk menggalak para pelanggan supaya beratur dengan betul.

"Pelanggan tidak takut dengan virus korona. Keadaan sangat sesak (di kedai) pada awal Ramadan, jadi kami selalu meminta orang ramai supaya menjarakkan diri antara satu sama lain," kata Osama Ali Ahmed, 60, pemilik kedai manisan berhampiran Masjid al-Sayeda Zainab yang bersejarah di tengah Kaherah.

Pelanggan, yang sebahagiannya memakai pelitup, berasak-asak mencari ruang, seperti yang mereka lakukan di sebuah kedai runcit berhampiran.

"Orang ramai berhati-hati, tetapi ini tidak menghalang ... kita keluar membeli barang yang kita perlukan setiap tahun," kata Ashraf Ali, 52, pemandu di sebuah syarikat telekomunikasi.

"MASA BERBAHAYA"

Mesir, sebuah negara yang mempunyai 100 juta penduduk, setakat ini melaporkan lebih 7,000 kes COVID-19 dengan 452 kematian, lebih rendah berbanding kebanyakan negara Eropah, namun jumlah jangkitan baru terus meningkat.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan Hala Zayed Said menggesa rakyat Mesir supaya memandang serius terhadap langkah-langkah itu.

"Rakyat yang akan menentukan cara kita mengharungi masa-masa berbahaya ini. Pemerintah sudah melaksanakan semua prosedur yang menjadi tanggungjawabnya," katanya lagi.

Para penduduk berkata lebih ramai orang duduk di rumah semasa bulan puasa ini, walaupun masih banyak jalan raya di bandar yang menempatkan 10 juta penduduk itu masih sesak pada siang hari.

Tempoh perintah berkurung itu sudah diubah kepada antara 7.00 malam hingga 9.00 malam dan beberapa kereta dilihat melanggar perintah berkurung pada sebelah malam itu.

Kesan virus korona menjejas ramai rakyat Mesir, terutama sekali bagi mereka yang bergantung kepada pekerjaan tidak rasmi seperti buruh kasar.

Badan amal Mesir, Misr El Kheir, mengagihkan hampir seganda lebih tinggi jumlah kotak makanan pada bulan Ramadan ini berbanding tahun lalu, kata Ahmed Ali, anggota kanan kakitangannya.

"Jumlah panggilan yang kami terima melalui talian hotline kami, dan ini tidak normal, sudah melepasi 30,000 atau 40,000," katanya, sambil menambah bahawa ada yang merupakan buruh kasar yang kurang peluang untuk bekerja disebabkan oleh perintah berkurung itu.

Food Bank, satu lagi badan amal, meningkatkan jumlah keluarga yang ingin dibantu pada bulan Ramadan, naik kepada 1.5 juta berbanding 500,000 pada tahun lalu.



Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan