Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat M'sia tugaskan saya jaga PM, kata Siti Hasmah

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mempunyai tugas yang perlu dilakukan untuk rakyat selepas memegang jawatan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat M'sia tugaskan saya jaga PM, kata Siti Hasmah

(Gambar: Lim Huey Teng/ Malaysiakini).

Diterbitkan : 05 Jun 2018 09:48AM Dikemas Kini : 05 Jun 2018 09:50AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mempunyai tugas yang perlu dilakukan untuk rakyat selepas memegang jawatan itu.

Namun bagi isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, rakyat pula meletakkan tanggungjawab dan kepercayaan kepadanya supaya menjaga suaminya.

"Bagi saya, yang sangat rapat dengannya, tinggal pun serumah, saya bimbang mengenai kesihatannya.

"(Saya katakan kepadanya) ‘Saya jaga awak. Ini kewajipan saya sekarang. Awak ada tanggungjawab kepada rakyat dan saya mempunyai kewajipan untuk awak.

"'Orang ramai minta saya menjaga awak dan saya hanya memainkan peranan saya'," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini di Yayasan Kepemimpinan Perdana semalam (5 Jun).

Berpakaian baju kurung berwarna keemasan, Dr Siti Hasmah yang berusia 92 tahun kelihatan ceria.

Ketika dimaklumkan bahawa netizen meminta agar suaminya berehat daripada jadualnya yang padat, Dr Siti Hasmah menyokong saranan itu.

Dr Siti Hasmah - seorang doktor seperti Dr Mahathir - berkata beliau sudahpun cuba meyakinkan suaminya agar berhenti sejenak sejak sebelum memegang jawatan perdana menteri lagi, tetapi usaha itu gagal.

"Dia akan kata, 'Saya baik, saya baik'. (Dia sedang) bersemangat, jadi saya perlu bersemangat bersamanya kerana saya mengikutinya ke mana saja dia pergi," katanya.

Bagaimanapun, Dr Siti Hasmah berkata beliau kadang-kala harus bertegas terhadap suaminya itu apabila membabitkan soal kesihatan, lapor Malaysiakini.

"Kadang-kala saya berbuat begitu. Saya sangat mendesak. Saya katakan 'Saya tak peduli'," katanya.

CERAMAH LEWAT MALAM

Dr Siti Hasmah berkata, jadual suaminya amat padat pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga harus menghadiri ceramah di seluruh negara hampir setiap hari sehingga lewat malam.

Disebabkan Dr Mahathir menjadi 'superstar' dalam setiap ceramah yang dihadiri, pihak penganjur biasanya menetapkan suaminya itu berucap di pentas pada jam 10.45 malam ke atas.

Bagaimanapun, Dr Siti Hasmah berkata beliau masih terkejut dengan reaksi orang ramai dalam setiap ceramah yang dihadiri sepanjang tempoh berkempen.

"Ia luar biasa, terutama apabila mengikuti kempen terakhir. Walaupun hujan dan tanah becak, orang ramai duduk di atas tanah dan tidak bergerak sama sekali. Mereka sedia mendengar," katanya.

Saat yang tidak dapat dilupakan, kata Dr Siti Hasmah adalah apabila orang ramai yang menghadiri ceramah 'menyalakan' telefon bimbit mereka apabila diminta berbuat demikian.

"Paling menarik bila mereka kata, 'sekarang nyalakan lampu' dan kamu akan dapat lihat ribuan lampu.

"Walaupun saya tak dapat melihat ramainya orang di hadapan kami, saya dapat melihat mereka di dalam lampu, bersinar.

"Ia adalah sesuatu yang harus diingati. Mereka sokong apa yang mereka mahukan," katanya.

Katanya, walaupun beliau dan suami sudahpun melalui banyak kali piliha raya, namun detik seperti itu menyebabkan kempen PRU14 'luar biasa' dan sukar dilupakan, lapor Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan