Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat M'sia sertai ISIS boleh pulang jika setuju jalani pemulihan

Rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di luar negara akan dibenarkan pulang ke tanah air sekiranya mereka bersetuju untuk menjalani sebulan program pemulihan yang dijalankan kerajaan, menurut pihak polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat M'sia sertai ISIS boleh pulang jika setuju jalani pemulihan

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Diterbitkan : 14 Mar 2019 07:57AM Dikemas Kini : 14 Mar 2019 08:16AM

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di luar negara akan dibenarkan pulang ke tanah air sekiranya mereka bersetuju untuk menjalani sebulan program pemulihan yang dijalankan kerajaan, menurut pihak polis.

Malaysiakini melaporkan bahawa Al Jazeera memetik Pengarah Antipengganas, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai berkata individu yang terlibat juga perlu mematuhi pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas mereka apabila mereka tiba di tanah air.

"Tidak semua akan ditahan, tapi semua yang pulang akan disoal siasat.

"Kita akan membuat pemeriksaan dan penyiasatan setiap individu yang pulang. Kita akan bawa kerani dan pakar psikologi untuk menilai ideologi dan psikologi mereka.

"Kita akan bandingkan dengan maklumat risikan yang kita terima dari agensi luar. Jika terdapat bukti individu yang pulang itu terlibat dengan aktiviti militan ISIS, dia akan didakwa di mahkamah," kata beliau.

Perkembangan itu dilaporkan Malaysiakini sedang negara luar termasuk Britain dan Amerika Syarikat melucutkan atau cuba melucutkan kewarganegaraan bekas militan ISIS dan keluarga mereka, untuk menghalang mereka daripada kembali ke tanah air.

Britain baru-baru ini melucutkan kewarganegaraan tiga wanita yang menyertai ISIS di Syria, termasuk remaja kelahiran London, Shamima Begum, yang kesnya dilapor media secara meluas.

Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat menegaskan bahawa Hoda Muthana yang meninggalkan Britain pada 2014 untuk mengahwini seorang militan ISIS, tidak akan dibenarkan kembali ke negaranya.

Keluarga pemuda berusia 24 tahun itu yang kini tinggal di kem pelarian, menyaman pemerintah Amerika Syarikat dalam usaha membawa Hoda Muthana pulang.

Militan ISIS kini berdepan kekalahan di bekas kubu kuatnya di Iraq dan Syria, di tangan tentera Syrian Democratic Forces (SDF) yang mendapat bantuan Amerika Syarikat - yang seterusnya memaksa militan ISIS dan keluarga mereka cuba kembali ke tanah air masing-masing.

Malaysiakini melaporkan bahawa menurut Al Jazeera, sekurang-kurangnya 102 rakyat Malaysia dikenal pasti meninggalkan negara untuk menyertai ISIS. Daripada jumlah itu, 40 terbunuh ketika pertempuran di Iraq dan Syria, sembilan daripada mereka merupakan pengebom nekad.

Sementara itu, menurut Encik Ayob, 11 rakyat Malaysia sudah pulang ke tanah air, dengan lapan daripada mereka didakwa di mahkamah, Tiga yang lain terdiri daripada seorang wanita dan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan