Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat Kelantan bantah arahan tutup kedai makanan semasa terawih

Hari pertama umat Islam berpuasa, kerajaan Kelantan mencetuskan polemik terbaharu apabila memperkenalkan arahan menutup premis makanan bermula jam 8.30 malam sehingga 10.00 malam sepanjang Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Kelantan bantah arahan tutup kedai makanan semasa terawih

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 May 2019 11:22PM Dikemas Kini : 08 May 2019 11:26PM

KOTA BHARU: Hari pertama umat Islam berpuasa, kerajaan Kelantan mencetuskan polemik terbaharu apabila memperkenalkan arahan menutup premis makanan bermula jam 8.30 malam sehingga 10.00 malam sepanjang Ramadan ini.

Dalam satu surat arahan 6 Mei yang dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan berkata langkah itu bagi memastikan semua pihak dapat menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat terawih di masjid atau surau.

Pelbagai reaksi diterima masyarakat termasuk pengusaha kedai makan yang rata-ratanya membantah arahan berkenaan sehingga membandingkan keadaan di Madinah dan Makkah yang sama sekali tidak ditutup ketika solat sunat itu.

Anak kepada bekas menteri besar Kelantan, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz sendiri secara terang-terangan membantah arahan tersebut dalam catatan Facebooknya pada Rabu (7 Mei).

Sambil meminta kerajaan Kelantan menarik balik arahan itu dengan memberikan pendapat bahawa keputusan itu mengganggu keberkatan bulan Ramadan yang mahukan umat Islam mencari rezeki yang halal.

Tinjauan Bernama juga mendapati sebahagian besar peniaga tidak menghiraukan arahan tersebut dengan membuka premis pada waktu berkenaan.

Para peniaga yang ditemui berkata arahan sedemikan sebenarnya seperti menyekat rezeki para peniaga.

"Siapa mahu membayar kerugian apabila perniagaan yang saya jalankan berpuluh tahun termasuk Ramadan tidak habis dijual," kata seorang pengusaha colek terkenal di Kubang Kerian.

Beliau yang enggan disebut nama berkata ribuan ringgit sudah dihabiskan pada setiap Ramadan membelikan bahan mentah seperti sotong, ketam dan ayam untuk menjual colek.

"Kalau buka pada pukul 10.00 malam, Encik (penulis) rasa boleh habis kah makanan ini dan berapa ramai yang mahu datang membelinya ketika itu," katanya.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Encik Azhar Ahmat, 47 tahun, tetap berkeras tidak bersetuju dengan arahan itu dan berkata walaupun pada dasarnya arahan itu adalah baik tetapi bukan kepada para peniaga.

Beliau mempersoalkan pula bagaimana arahan terhadap restoran makanan segera yang tidak dikenakan arahan yang sama dan menyifatkan ia sebagai sesutau yang langsung tidak adil dan tidak masuk akal.

Arahan itu juga turut mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri, Mejar (B) Encik Md Anizam Ab Rahman yang menyentuh kemungkinan memberi sedikit kesan terhadap industri pelancongan di negeri itu.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Encik Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata arahan penutupan sementara itu sebenarnya masih di peringkat awal dengan pengusaha kedai makan dan restoran masih boleh meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa.

Katanya arahan belum lagi dikeluarkan kepada para peniaga kerana ia masih di peringkat pengurusan dan belum sampai ke peringkat bawah.

Bagaimanapun arahan terbaharu itu perlulah dibuat kajian yang mendalam terlebih dahulu oleh kerajaan Kelantan umpama "menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak" dan memberikan kebaikan kepada semua pihak.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan