Rakyat Johor kurang selesa dengan ketegangan M'sia-S'pura
Pertikaian antara Malaysia dengan Singapura yang berlaku baru-baru ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk Johor, dengan ramai rakyat Malaysia di negeri itu berpendapat bahawa kedua-dua negara perlu mengadakan rundingan secepat mungkin.
JOHOR BAHRU: Pertikaian antara Malaysia dengan Singapura yang berlaku baru-baru ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk Johor, dengan ramai rakyat Malaysia di negeri itu berpendapat bahawa kedua-dua negara perlu mengadakan rundingan secepat mungkin.
Andes Wong, seorang rakyat Malaysia berusia 32 tahun yang kerap mengunjungi Singapura, berkata kedua-dua negara mempunyai sejarah hubungan dua hala yang baik, yang tidak sepatutnya terjejas oleh pertikaian maritim atau ruang udara.
"Saya percaya kita boleh mencapai situasi yang mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya pada Ahad (9 Dis) seperti yang ditukil oleh akhbar The Star Online.
Encik Wong berkata ramai rakyat Malaysia dan Singapura menyeberang tambak setiap hari, dan Kerajaan Malaysia dan Pemerintah Singapura juga sudah meraih hasil daripadanya.
Saiful Ahmad, 47 tahun, yang melakukan perjalanan ke Singapura setiap hari pula berkata bahawa huraian damai secara persahabatan adalah huraian terbaik bagi meleraikan pertikaian ini.
"Saya bimbang mengenai mata pencarian saya. Saya tidak mampu hilang pekerjaan sekiranya situasi bertambah buruk dan kedua-dua negara menyekat perjalanan penduduk," katanya kepada The Star Online.
Justin Seow, yang menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), turut menyuarakan kebimbangannya.
"Saya berharap hubungan dua hala tidak akan menjadi bertambah buruk. Persoalannya adalah sama ada penduduk kedua-dua negara dipengaruhi oleh semangat nationalisme ataupun mereka akan membuat pertimbangan secara rasional," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak fikir pertikaian itu akan menjejas pekerjaan rakyat Malaysia di Singapura. Namun, beliau berpendapat bahawa ini bergantung kepada respons Singapura jika pertikaian itu terus memuncak.
Presiden Persatuan Perniagaan India Johor, P. Sivakumar, juga terkejut keadaan sudah mencapai tahap sebegini sambil menambah masyarakat perniagaan di kedua-dua negara sedang memantau keadaan.
Beliau berkata kedua-dua negara harus meredakan ketegangan dan mencari huraian bagi menghuraikan isu-isu termasuk isu air, ruang udara dan sempadan laut.
"Sebagai negara jiran, kedua-dua negara harus hidup dengan aman damai antara satu sama lain.
"Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan, kedua-dua negara harus membentangkan perkara ini kepada ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa)," kata Encik Sivakumar.
Sementara itu, The Star Online turut menukil Khairina Mohamad, seorang rakyat Singapura, sebagai berkata Pemerintah Singapura dan Kerajaan Malaysia harus mencapai satu persetujuan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, terutamanya rakyat kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.