Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat Johor harus diberi penjelasan keputusan batal HSR, tegas mantan menteri besar Johor

"Ia (HSR) bukan projek politik dan tidak harus dipolitikkan," kata mantan menteri besar Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Johor harus diberi penjelasan keputusan batal HSR, tegas mantan menteri besar Johor

Konsep reka bentuk bagi stesen Muar di laluan HSR KL-S'pura. (Gambar fail: MyHSR)

Diterbitkan : 31 May 2018 11:44PM Dikemas Kini : 31 May 2018 11:45PM

JOHOR BAHRU: UMNO Johor hari ini (31 Mei) berpandangan rakyat negeri itu harus diberi penjelasan tentang keputusan kerajaan pusat membatalkan projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Mohamed Khaled Nordin berkata pandangan tersebut bersandarkan kepada beberapa sebab, pertama kerana HSR adalah sebuah projek prasarana yang dicadangkan demi mencungkil potensi sebenar daerah selatan Malaysia.

"Ia (HSR) bukan projek politik dan tidak harus dipolitikkan. HSR semasa diputuskan untuk dilaksana, diharap akan menjadi pemacu perubahan bagi pembangunan di wilayah selatan Malaysia.

"Bukan sahaja ia memudah dan mempercepatkan pergerakan rakyat dari ibu negara  ke selatan tanah air dan Singapura, malah akan banyak membantu memacu pelbagai aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran laluannya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Encik Mohamed Khaled berkata Muar misalnya, akan dapat terus dilonjakkan sebagai Hab Pendidikan dan Kota Perabot Malaysia ke tahap lebih tinggi dan baik melalui ‘keterhubungan’ yang disediakan HSR.

MUSTAHIL M'SIA, S'PURA SETUJU PROJEK YANG TIADA MANFAAT

Selain itu, mantan Menteri Besar Johor itu berkata, pelaksanaan HSR tidak pernah diputuskan secara tergesa-gesa dan ia melalui proses kajian demi kajian merangkumi pelbagai aspek.

Beliau berkata adalah mustahil untuk Malaysia dan Singapura mempersetujui sebuah projek yang tidak mempunyai manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Ketiga, pembatalan HSR tersebut akan menyebabkan Malaysia terpaksa membayar penalti yang terlalu mahal kira-kira RM500 juta.

"Ini sudah pastilah satu pembaziran memandangkan kita membayar RM500 juta (S$167 juta) dengan tidak memperoleh apa-apa. Merundingkan pampasan bukanlah perkara yang mudah apabila keputusan ini dibuat secara ‘unilateral’," katanya.

Sebab keempat, Encik Mohamed Khaled berkata pembatalan projek HSR dilihat dilakukan tanpa rundingan dan makluman dengan kerajaan Johor dan Singapura.

Beliau berkata perkara tersebut sangat mengecewakan kerana kedua-dua pihak adalah pemegang taruh paling penting dalam projek berkenaan.

“Terutamanya Johor, keputusan tersebut akan merencatkan segala pelan pertumbuhannya sedangkan Johor memerlukan prasarana berkelas dunia untuk menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia,” katanya.

TIADA MASA SEMPURNA LAKSANA PROJEK HSR

Encik Mohamed Khaled menegaskan, jika alasan pembatalan itu kerana kedudukan kewangan negara sangat mendesak, maka kerajaan wajar mengambil pendekatan merunding semula projek tersebut dengan Singapura agar ia dapat ditangguhkan ke suatu masa yang mengizinkan.

"Haruslah juga diambil kira bahawa kos untuk melaksanakan projek sedemikian juga akan meningkat berkali-kali ganda jika dilaksanakan pada masa akan datang.

"Pendek kata, tidak akan ada masa yang boleh dianggap sempurna untuk melakukan projek mega seperti HSR. Ia satu keperluan, dan keperluan seperti ini tidak sewajarnya dijadikan korban politik," katanya.

Encik Mohamed Khaled berkata pembatalan HSR juga tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan Johor, dan UMNO Johor kesal dengan sikap Menteri Besar Osman Sapian yang dilihat tidak bersungguh-sungguh bersuara dalam perkara melibatkan kepentingan negeri berkenaan.

Beliau berkata Menteri Besar Johor bukan sahaja tidak memberi kenyataan rasmi, malah, langsung tidak mempeduli untuk mengemukakan pendirian kerajaan Johor berhubung perkara itu, sedangkan HSR merupakan projek mega melibatkan kepentingan Johor secara langsung pada skala besar.

"Sekiranya kerajaan negeri terus bersikap untuk hanya menerima dan akur sahaja akan segala keputusan kerajaan persekutuan tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri, sudah pastilah suara dan kehendak rakyat Johor akan sukar untuk diperjuangkan," katanya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan