Images
  • sidang media indo
    Ketua Baswalu RI Abhan di sidang media yang diadakan pada 16 Apr. (Gambar: Rosli A Razak/BERITAmediacorp)

Rakyat Indonesia di M'sia mungkin perlu mengundi sekali lagi; timbalan duta besar di KL mungkin dipecat

JAKARTA: Pengundian bagi Pilihan Raya Indonesia di Malaysia mungkin akan diadakan sekali lagi.

Ini selepas Badan Pengawas Pemilihan Umum Indonesia (Bawaslu) mengusulkan demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Jakarta hari ini (16 Apr).

Ia diusulkan di tengah-tengah dakwaan berlaku penipuan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ini melibatkan lebih 319,000 undi.

2 ANGGOTA PPLN MUNGKIN DIPECAT

Dalam sidang media yang diadakan petang tadi, ketua Baswalu RI Abhan berkata beliau juga menyarankan agar dua anggota jawatankuasa pemilihan luar negara (PPLN) dipecat.

Salah seorang daripadanya ialah Timbalan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Krishna Hannan.

Menurut agensi itu, langkah tersebut adalah untuk mencegah percanggahan kepentingan.

Khamis lalu, rakaman-rakaman video tersebar online yang menunjukkan beribu-ribu kertas undi yang sudah bertanda menyokong Presiden Joko Widodo dan sekutu-sekutunya.


(Gambar fail: Bay Ismoyo/AFP)

Salah satu video turut menunjukkan polis dan beberapa orang di dalam sebuah gudang di Selangor memaparkan kertas-kertas undi berkenaan.

Penganjur dan penyelia pilihan raya segera mengerahkan sebuah pasukan ke Malaysia untuk menyiasat penipuan itu.

Malangnya sehingga ke hari ini, pasukan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) dan Baswalu tidak dapat mengakses bukti tersebut kerana gagal mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian.

USUL PENGUNDIAN POS DIADAKAN SEMULA

Bagi menyelamatkan proses pilihan raya, badan tersebut mencadangkan supaya pengundian pos dilakukan semula. Ini kerana kertas undi ditemui dalam beg pos.

Baswalu turut mendedahkan 25 kes politik wang terbongkar di 25 kota di 13 wilayah Indonesia sepanjang tempoh bertenang selama tiga hari dari 14 hingga 16 Apr, dengan penangkapan paling besar dilaporkan di Jawa Barat dan Sumatera Utara.


Para pengawas pilihan raya dan pihak polis yang melakukan rondaan menahan kumpulan-kumpulan penyokong ketika mereka memberi wang sogokan kepada para penduduk dengan tujuan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Berbagai-bagai taktik digunakan termasuk wang yang disembunyikan di dalam serbuk pencuci dan barangan asas serti guni-guni beras dan berlaku di kediaman para penduduk dan pusat-pusat perbelanjaan.


Penjelasan dan saranan oleh agensi pengawas pemilihan adalah penting kerana ia cuba untuk menekankan bahawa proses pilihan raya mesti dijalankan secara demokratik, adil dan bebas daripada penipuan.

Juga penting bagi pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini kerana jika berlaku kemenangan tipis, keputusannya mungkin akan dipertikaikan. 

- BERITAmediacorp/aq

Top