Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rakyat 35 negara terkorban dalam nahas Ethiopian Airlines

Lapan rakyat China, empat rakyat India, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Nepal merupakan antara penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines ET302, menurut senarai penumpang yang didedahkan oleh syarikat penerbangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Mar 2019 03:30PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 09:57PM

SINGAPURA: Lapan rakyat China, empat rakyat India, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Nepal merupakan antara penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines ET302, menurut senarai penumpang yang didedahkan oleh syarikat penerbangan itu.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 sedang dalam perjalanan ke Nairobi apabila ia "terputus hubungan" sekitar enam minit setelah ia berlepas dari Lapangan Antarabangsa Bole di Addis Ababa pada Ahad (10 Mac). Pesawat malang itu terhempas di luar bandar Bishoftu, meragut nyawa semua 157 orang di dalamnya.

Hari ini (11 Mac) diisyitiharkan sebagai hari berkabung negara dengan ramai meratapi kehilangan orang-orang tersayang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta di Nairobi.

Menurut senarai penumpang yang dikongsi menerusi akaun Twitter rasmi Ethiopian Airlines, para penumpang dan anak kapal yang maut berasal dari 35 negara. Mereka termasuk 32 rakyat Kenya dan 18 rakyat Kanada.

Lapan rakyat China, empat rakyat India, seorang rakyat Indonesia dan seorang rakyat Nepal juga merupakan mangsa nahas berkenaan.

Menurut laporan CCTV di China, salah seorang penumpang ialah penduduk Hong Kong, Tsang Ching-ngai yang bertugas untuk Program Persekitaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

South China Morning Post melaporkan bahawa mangsa, yang dikenal pasti sebagai Victor Tsang Shing-nga, merupakan seorang pegawai program Unit Gender dan Perlindungan.

PBB mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 19 penumpang melakukan kerja-kerja berkaitan PBB. Ini termasuk mereka yang bekerja bagi Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi, Program Makanan Sedunia (WFP), Agensi Pelarian PBB, Bank Sedunia dan Agensi Sekitaran PBB.

Ramai daripada mereka sedang dalam perjalanan bagi menghadiri perhimpunan agung Program Sekitaran PBB, yang bermula hari ini (11 Mac) di Nairobi. Sekitar 4,700 pemimpin negara, menteri, ketua perniagaan, pegawai kanan PBB dan wakil majlis awam dijangka menghadiri perhimpunan tersebut.

Menurut catatan twitter Menteri Hal Ehwal Luar India Sushma Swaraj, keempat-empat penumpang rakyat negara itu dikenal pasti sebagai Vaidya Pannagesh Bhaskar, Vaidya Hansin Annagesh, Nukavarapu Manisha dan Shikha Garg.

Wanita rakyat Indonesia yang menetap di Itali dan Ekta Adhikari, seorang rakyat Nepal, merupakan kakitangan WFP, lapor BBC dan The Himalayan Times.

Para penumpang lain termasuk warga Habsyah, Itali, Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Slovakia.

Anggota Parlimen Slovakia, Anton Hrnko, menulis di laman Facebooknya bahawa beliau kehilangan isteri, anak lelaki dan anak perempuannya akibat nahas tersebut.

Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada syarikat penerbangan Ethiopian Airlines, Penguasa Penerbangan Awam Habsyah dan Penguasa Pengangkutan Habsyah, sudah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan, menurut satu kenyataan.

Pesawat yang terhempas pada Ahad (10 Mac) merupakan jenis pesawat sama yang terbabit dalam nahas Lion Air pada Oktober lalu.

Pesawat Boeing 737-800 MAX itu dihantar kepada Ethiopian Airways pada 15 November.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan