Images
  • haji tawaf kaaba makkah 2020
    Jemaah haji terhad tawaf keliling Kaabah pada 31 Jul 2020 (Gambar: SPA/AFP)

Raja Salman raikan kejayaan musim haji terhad kali ini

MAKKAH: Raja Salman bagi Arab Saudi meraikan kejayaan musim haji yang terhad kali ini sambil berharap Hari Raya Aidiladha akan menjadi titik tolak berakhirnya pandemik COVID-19.

Beliau turut memuji usaha semua pihak bagi memastikan perjalanan haji tahun ini terus selamat bagi sekitar 10,000 jemaah yang terpilih.

Terdiri daripada 30 peratus warga Arab Saudi dan lagi 70 peratus rakyat dari 160 buah negara yang tinggal dan bertugas di Arab Saudi, para jemaah haji kali ini mengerjakan semua ibadat mengikut protokol kesihatan yang tinggi.

Pihak berkuasa Saudi juga mengumumkan tiada sebarang kes COVID-19 dalam kalangan jemaah haji kali ini.

Jumlah kes baru COVID-19 di merata Arab Saudi juga merosot buat hari keenam berturut-turut, dengan 1,686 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Selepas "tahlul awal" semalam (31 Jul), para jemaah haji perlu melakukan lontaran ketiga-tiga buah jamrah di Mina hari ini.

Untuk memastikan kebersihan, pihak berkuasa menyediakan batu yang telah dipastikan bebas kuman untuk ibadat melontar.
Ibadat melontar juga dijalankan dengan teratur dengan langkah-langkah jaga jarak selamat diutamakan kali ini.

Kementerian Kesihatan Saudi mengerahkan 8,000 orang termasuk kakitangan jagaan kesihatan dan pasukan sokongan untuk membantu para jemaah haji.
Enam buah hospital, 51 klinik kesihatan dan 200 buah ambulans tersedia di beberapa tapak lokasi sepanjang perjalanan haji tahun ini.

62 pasukan di lapangan juga menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas para jemaah haji, 24 jam sehari.

- Agensi berita/AA/tq

Top