Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Raja Jordan beri amaran ISIS sedang berkumpul semula dan bangkit di Timur Tengah

Raja Abdullah bagi Jordan hari ini (13 Jan) memberi amaran bahawa kumpulan pengganas ISIS sedang berkumpul semula dan sedang bangkit sekali lagi di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Jordan beri amaran ISIS sedang berkumpul semula dan bangkit di Timur Tengah

Raja Abdullah II semasa berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS), 20 Jun 2019. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Jan 2020 07:18PM Dikemas Kini : 13 Jan 2020 07:25PM

PARIS: Raja Abdullah bagi Jordan hari ini (13 Jan) memberi amaran bahawa kumpulan pengganas ISIS sedang berkumpul semula dan sedang bangkit sekali lagi di Timur Tengah.

Raja Abdullah berkata kebimbangan utama beliau ialah "kami sudah melihat sejak tahun lalu penubuhan semula dan kebangkitan ISIS, bukan sahaja di tenggara Syria, tetapi juga di barat Iraq".

"Kita harus menangani kemunculan semula ISIS," kata beliau dalam satu wawancara dengan saluran televisyen France 24, menjelang rundingannya di Brussels, Strasbourg dan Paris minggu ini. Beliau menambah bahawa ramai pejuang asing dari Syria kini di Libya.

"Dari perspektif Eropah, dengan Libya lebih dekat kepada Eropah, ini akan menjadi perbincangan penting dalam beberapa hari ini," kata Raja Abdullah.

"Beberapa ribu pejuang yang meninggalkan Idlib (Syria) menerusi sempadan utara dan kini berada di Libya. Ini sesuatu yang kami di rantau ini dan juga rakan-rakan Eropah kita perlu tangani pada 2020," tambah pemimpin Jordan itu.

Mengulas ketegangan yang memuncak antara Iran dengan Amerika Syarikat minggu lalu, Raja Abdullah berharap bahawa dalam beberapa bulan mendatang, "satu nada yang betul" boleh diwujudkan di rantau Timur Tengah itu. "Suhunya" perlu diturunkan, kata beliau.

"Buat masa ini ia kelihatan seperti menjadi reda. Kami harap itu akan berterusan menjadi trend. Kita tidak boleh ada ketidakstabilan di rantau kami ini.

"Apa-apa sahaja yang berlaku di Tehran akan menjejas Baghdad, Amman, Beirut, proses Israel-Palestin," kata Raja Abdullah.

Beliau menambah bahawa kerahan tentera Turki baru-baru ini dalam bentuk latihan ke Libya "akan hanya mewujudkan lebih banyak kecelaruan" di negara itu.

Kedua-dua pihak dalam konflik Libya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata mulai Ahad (12 Jan) bagi menamatkan pertempuran selama sembilan bulan, menyusuli diplomasi antarabangsa selama berminggu-minggu termasuk oleh Turki dan Rusia.

Satu laporan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November menyatakan beberapa negara melanggar sekatan senjata terhadap Libya yang dikuatkuasakan sejak penggulingan Muammar Gaddafi pada 2011.

Jordan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) secara kerap membekalkan senjata kepada panglima tentera Libya, Jeneral Khalifa Haftar, yang turut mendapat sokongan daripada pesaing-pesaing Turki seperti Arab Saudi dan Mesir.

Jordan, yang kestabilannya dianggap penting bagi rantau Timur Tengah, menempatkan sekitar 1.3 juta pelarian dari Syria. 

Sumber : AFP/DIWAI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan