Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Radiasi telefon bijak boleh sebabkan remaja jadi pelupa

Remaja yang menggunakan tangan kanan lebih berisiko

Anggaran Waktu Membaca:
Radiasi telefon bijak boleh sebabkan remaja jadi pelupa

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Jul 2018 07:19PM Dikemas Kini : 22 Jul 2018 07:22PM

STOCKHOLM: Kesan radiasi daripada telefon bijak boleh menyebabkan golongan remaja menjadi pelupa.

Laporan Astro Awani menukil seorang pakar radiasi dari Sweden, Martin Roosli yang berkata bahawa pendedahan kepada radiasi daripada telefon bijak selama setahun sudah cukup untuk memberi kesan buruk kepada bahagian otak yang berfungsi untuk mengolah imej dan bentuk.

Pada masa yang sama, remaja yang menulis dengan tangan kanan akan lebih terjejas dengan radiasi ini berbanding remaja yang menggunakan tangan kiri, menurut laporan Astro Awani.

Roosli telah melakukan kajian terhadap 700 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun tentang kebiasaan mereka menggunakan telefon bijak, selain pemeriksaan daya ingatan golongan itu.

Kajian beliau mendapati bahawa terdapat kaitan antara daya ingatan lemah dengan pendedahan kepada radiasi RG-EMF.

Ia turut mendedahkan bahawa tindakan menghantar teks, bermain permainan video, malah menggunakan telefon untuk melayari internet, boleh memberi kesan buruk kepada remaja, terutamanya mereka yang lebih mahir menggunakan tangan kanan.

“Hasil kajian ini menunjukkan bahawa radiasi RF-EMF yang diserap oleh otak boleh memberi kesan negatif.

“Bagaimanapun risiko terhadap otak boleh dikurangkan dengan pemakaian fon kepala atau pembesar suara sewaktu membuat panggilan, terutamanya apabila kualiti rangkaian amat lemah serta telefon bijak tersebut sedang berfungsi dengan kuasa bateri yang penuh," kata Roosli.

Beliau menambah, masih belum jelas bagaimana radiasi RF-EMF boleh memberi kesan kepada proses otak atau bagaimana hasil penyelidikan itu boleh memberi manafaat dalam jangka panjang.

“Sebagai contoh, hasil penyelidikan ini boleh dipengaruhi oleh remaja-remaja yang sedang mengalami perubahan hormon dan mencapai akil baligh, kerana ia boleh memberi kesan kepada bagaimana mereka menggunakan telefon bimbit, perubahan sikap dan tingkah laku serta perubahan kognitif dalam otak,” jelasnya.

Dalam kajian tersebut, peserta yang mengambil bahagian diminta mengisi borang pertanyaan yang bertujuan mengkaji kadar penggunaan telefon bijak dan media, termasuk kesihatan mental dan fizikal mereka menurut laporan Astro Awani itu.

Sumber : Agensi berita/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan