Images
  • qatar
    Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani. (Gambar: Naseem Zeitoon/Reuters)

Qatar gesa huraian konflik AS-Iran

LONDON: Qatar dan negara-negara lain sudah berbincang dengan Iran dan Amerika Syarikat untuk mengendurkan ketegangan, kata Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani pada Ahad (9 Jun), sambil menggesa kedua-dua pihak untuk bertemu dan berkompromi.

Sheikh Mohammed berkata, beberapa negara termasuk Qatar, Oman, Iraq dan Jepun menggesa agar kedua-dua pihak meredakan ketegangan.

"Kesemua negara ini bimbang apa yang berlaku sekiranya konflik itu menjadi lebih teruk," katanya. "Qatar dan negara-negara lain di rantau ini telah cuba untuk meredakan ketegangan: kami berunding dengan Amerika Syarikat dan Iran."

"Apa yang kami ingin cuba lakukan adalah merapatkan jurang dan memberi peluang agar perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan kerana konflik tidak akan memanfaatkan sesiapa pun di rantau ini," ujarnya.

Ketegangan kian meningkat antara Iran dengan Amerika Syarikat beberapa minggu kebelakangan ini setelah Washington mengenakan semula sekatan ekonomi terhadap Iran selepas ia menarik diri daripada perjanjian nuklear dan mengerahkan pasukan tentera ke Timur Tengah sebagai cara menunjukkan kuasa menentang apa yang disifatkan para pegawai Amerika Syarikat sebagai ancaman oleh Iran terhadap tentera dan kepentingannya.

- REUTERS/NA/na

Top