Images
  • kim (1)
    Kim Jong-un. (Gambar: Reuters)

Pyongyang sedia bincang dengan Washington akhir bulan ini

SEOUL: Korea Utara pada Isnin (9 Sep), menyatakan pihaknya bersedia meneruskan rundingan mengenai isu pelucutan nuklear dengan Amerika Syarikat pada akhir bulan ini, selepas pertemuan antara Presiden Donald Trump dengan Encik Kim Jong-un pada Februari lalu, menemui jalan buntu.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menyambung semula dialog peringkat kerja semasa mesyuarat bersama di Zon Bebas Tentera yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan pada Jun lalu tetapi sehingga kini belum lagi dimulakan.

“Kami bersedia untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Amerika Syarikat pada hujung September ini, pada tarikh dan lokasi yang bakal kami persetujui,” kata Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui dalam kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kenyataan Encik Choe dikeluarkan menyusuli amarannya pada bulan lalu, bahawa harapan untuk mengadakan dialog dengan Washington semakin pudar selepas Pyongyang melancarkan beberapa ujian senjata, bagi membantah latihan tentera bersama antara Amerika Syarikat dengan Korea Selatan.

Mengulas mengenai saranan bagi rundingan peringkat rendah pada September ini, Encik Trump memberitahu wartawan: “Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Pengerusi Kim (Jong-un). Saya sering menyatakan bahawa mengadakan mesyuarat adalah satu perkara yang baik.

“Kita akan lihat apa yang bakal berlaku.”

- AFP/NA/na

Top