Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Putrajaya lembab, lengahkan usaha kerajaan negeri peroleh COVID-19 sendiri: Anwar Ibrahim

Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim pada Selasa (20 Apr) menuduh kerajaan pusat menghalang usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara langsung.

Anggaran Waktu Membaca:
Putrajaya lembab, lengahkan usaha kerajaan negeri peroleh COVID-19 sendiri: Anwar Ibrahim

Gambar fail Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 06:54PM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 06:58PM

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim pada Selasa (20 Apr) menuduh kerajaan pusat menghalang usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara langsung.

Dalam satu kenyataan, Encik Anwar berkata beberapa kerajaan negeri, perniagaan swasta dan yayasan telah berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin sendiri yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Namun, beliau berkata "usaha mereka tergantung lantaran sering dilengahkan oleh Kementerian yang terbabit".

"Kelengahan yang mereka hadapi bakal mengundang padah," tegasnya.

Encik Anwar memberi contoh bagaimana kerajaan negeri Selangor, yang ditadbir Pakatan Harapan, "terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan 2 juta dos buat penduduk Selangor".

Beliau menambah kerajaan negeri Sarawak turut mengalami nasib yang serupa.

Encik Anwar menambah bahawa perniagaan swasta dan yayasan memberitahunya usaha mereka untuk memperoleh vaksin "tidak dihiraukan sama sekali" oleh kerajaan pusat.

"Matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin. Namun demikian, kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos," tulis Encik Anwar.

"Yang demikian kerana setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat. Ada juga syarikat-syarikat swasta yang bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi memvaksin pekerja dan keluarga mereka, meskipun dengan harga yang mahal."

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata kurang 3 peratus rakyat Malaysia telah divaksin setakat Selasa, dan kadar pemvaksinan boleh dipercepat jika bekalan disalurkan langsung ke golongan masyarakat yang memerlukan.

"Jika kini kita menggunakan pendekatan yang melibatkan semua, mengapa tidak kita menfaatkan sumber yang ada secara menyeluruh?" soal beliau.

Encik Anwar juga menyeru kerajaan persekutuan supaya "menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta" memperoleh vaksin yang sudah diluluskan untuk "meningkatkan kesegeraan vaksinasi".

Beliau juga menuntut agar "satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta."

"Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali," tegasnya.

Kerajaan persekutuan Malaysia memulakan program imunisasi COVID-19 nasional pada Februari.

Menteri Penyelaras bagi program tersebut Khairy Jamaluddin berkata penghantaran vaksin ke Malaysia rendah kerana negara-negara mewah telah membolot bekalan.

Namun, beliau memberi jaminan negara itu akan memiliki cukup bekalan untuk memberi vaksin kepada 80 peratus daripada 32 juta penduduknya menjelang Oktober.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, sejumlah 451,237 individu telah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin mereka sehingga Isnin.

Kira-kira 726,400 individu lain menerima dos pertama, menjadikan jumlah dos COVID-19 yang diagihkan di negara itu sekitar 1.78 juta.

Kira-kira 9.05 juta orang telah mendaftar untuk program vaksinasi. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan