Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Putin usul sidang kuasa dunia untuk elak 'persemukaan' PBB berhubung Iran

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat (14 Ogos) mencadangkan sidang kemuncak maya diadakan kuasa-kuasa dunia dalam usaha untuk mengelakkan "persemukaan dan keadaan lebih tegang" di PBB, di mana Washington sedang cuba untuk melanjutkan sekatan senjata ke atas Tehran.

Anggaran Waktu Membaca:
Putin usul sidang kuasa dunia untuk elak 'persemukaan' PBB berhubung Iran

Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar: Alexei Nikolsky/Kremlin/Reuters)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 12:34PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 12:44PM

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat (14 Ogos) mencadangkan sidang kemuncak maya diadakan dengan Amerika Syarikat, Britain, Perancis, China, Jerman dan Iran dalam usaha untuk mengelakkan "persemukaan dan keadaan lebih tegang" di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana Washington sedang cuba untuk melanjutkan sekatan senjata ke atas Tehran.

"Isunya mendesak," kata Encik Putin dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pilihan lain "hanyalah keadaan yang lebih tegang, meningkatkan risiko konflik - keadaan seperti itu mesti dielakkan."

Ketika ditanya jika beliau akan menyertainya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata kepada para wartawan: "Saya dengar ada sesuatu, tetapi saya belum diberitahu mengenainya."

Presiden Perancis Emmanuel Macron terbuka untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak maya itu, menurut istana Elysee.

Majlis Keselamatan PBB seramai 15 anggota akan mengumumkan pada Jumaat hasil undian mengenai ketetapan yang dilakarkan Amerika Syarikat untuk melanjutkan sekatan senjata. Para diplomat menjangkakan ia akan gagal dan menggoyahkan lagi perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa-kuasa dunia.

Sekiranya Amerika Syarikat gagal, ia mengancam akan mengenakan semula semua sekatan PBB ke atas Iran, menggunakan satu peruntukan dalam perjanjian nuklear yang dikenali sebagai 'snapback', walaupun Washington sudah menarik diri dari perjanjian itu pada 2018. Para diplomat berkata Amerika Syarikat mungkin akan cuba melakukannya seawal minggu depan.

Encik Putin berkata Rusia, yang merupakan sekutu Iran dalam perang saudara Syria, tetap berpegang sepenuhnya kepada perjanjian nuklear itu dan tujuan sidang kemuncak maya itu adalah "untuk menggariskan langkah-langkah yang boleh mengelakkan persemukaan dan peningkatan ketegangan di majlis keselamatan."

Beliau juga berkata para pemimpin boleh merundingkan "langkah-langkah pembangunan keamanan dan keyakinan yang diyakini di Teluk Parsi" sambil menambah bahawa ini boleh "dicapai jika kami menggabungkan iltizam politik dengan pendekatan membina oleh semua negara kami dan negara-negara di rantau ini."

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan