Images
  • thai princes
    Puteri Ubolratana Rajakanya. (Gambar: Fred Dufour/AFP)

Puteri Thai tanding piilhan raya umum sebagai calon PM

BANGKOK: Sebuah parti politik Thailand hari ini (8 Feb) menamakan seorang puteri sebagai calon perdana menteri selanjutnya. Ini memecahkan tradisi Thailand di mana kerabat dirajanya tidak menyertai politik. Pengumuman itu juga tidak dijangkakan ramai pihak yang membuat pelbagai andaian tentang pilihan raya bulan depan.

Pemilihan Puteri Ubolratana Mahidol, 67 tahun, oleh Parti Raksa Chart Thai mencipta sejarah dalam politik Thailand kerana kini beliau terkait dengan sebuah parti politik yang pernah diselar oleh para penyokong tegar kerabat diraja sebagai menentang semangat pemerintahan beraja.

Puteri Ubolratana merupakan anak sulung mendiang Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit.

Dengan pemilihan beliau sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri selepas pilihan raya umum pada 24 Mac nanti, satu persaingan dapat dijangkakan antara beliau dengan calon pilihan tentera yang dianggap antara institusi paling setia pada kerabat diraja Thailand.

Penyertaan mengejut Puteri Ubolratana dalam bidang politik - yang dipercayai atas persetujuan adiknya, Raja Maha Vajiralongkorn - menimbulkan tanda tanya tentang sama ada pakatan antara istana dengan tentera tergugat.

Perdana Menteri Thailand sekarang, Prayuth Chan-ocha, yang mengetuai rampasan kuasa yang menumbangkan pemerintah dipilih Thailand pada 2014, menerima pemilihannya sebagai seorang calon oleh Parti Palang Pracharat untuk memimpin pemerintahan selanjutnya. Parti itu diketahui ramai sebagai proksi tentera.

Politik Thailand dilanda kemelut dengan bantahan ganas di jalanan serta rampasan kuasa yang berlaku sejak sedekad lalu namun ini bukan sesuatu perkara baru dalam sejarah Thailand.

Kematian Raja Bhumibol Adulyadej pada 2016 menambah ketidaktentuan politik di negara itu kerana mendiang merupakan kuasa penstabilan Thailand sejak beliau menaiki takhta pada 1946. 

- APTN/AQ/aq

Top