Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Putera William bertemu mangsa serangan masjid New Zealand

Pewaris takhta Britain, Putera William, bertemu dengan para mangsa terselamat dalam serangan di dua masjid di Christchurch

Anggaran Waktu Membaca:
Putera William bertemu mangsa serangan masjid New Zealand

Putera William mendengarkan sesuatu yang dikatakan Imam Masjid Al Noor Gamal Fouda (tengah) semasa membuat lawatan ke Christchurch. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 06:11PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 06:14PM

WELLINGTON: Pewaris takhta Britain, Putera William, bertemu dengan para mangsa terselamat dalam serangan di dua masjid di Christchurch, termasuk budak perempuan berusia lima tahun yang beransur pulih di hospital, ketika membuat lawatan dua hari ke New Zealand.

Putera William, yang memakai gelaran Duke of Cambridge, melakukan kunjungan tersebut bagi pihak neneknya, Ratu Elizabeth, 93 tahun, atas permintaan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Beliau, yang tiba di Christchurch petang semalam (25 Apr) melawat Hospital Christchurch hari ini untuk bertemu dengan para mangsa yang cedera dalam serangan tersebut. Beliau kemudian menziarahi Masjid Al Noor dan Masjid Linwood - tempat di mana seorang pengganas berkulit putih membunuh 50 jemaah pada 15 Mac lalu.

Putera William menyapa seorang kanak-kanak lelaki setibanya beliau di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand. (Gambar: REUTERS)

Putera William menyapa seorang kanak-kanak lelaki setibanya beliau di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand. (Gambar: REUTERS)

"Apa yang berlaku di sini didorong oleh ideologi yang tidak mengenal sempadan," kata Putera William kepada para hadirin yang termasuk Cik Ardern serta pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat lain.

"Fahaman pelampau dalam semua bentuk sekalipun harus ditumpaskan.

"Mesej daripada Christchurch dan mesej daripada masjid-masjid Al Noor serta Linwood sangat jelas. Ideologi kebencian sejagat tidak akan berjaya memecahbelahkan kita," kata beliau.

Imam Masjid Al Noor, Gamel Fouda, mengucapkan terima kasih kepada Putera William atas ucapannya sambil berkata beliau menunjukkan bahawa "kami penting".

Putera William memulakan lawatannya semalam ke bandar Auckland untuk menghadiri upacara peringatan ANZAC, bagi menghormati rakyat Australia dan New Zealand yang terbunuh ketika berkhidmat dalam perang.

Beliau kemudian mengunjungi Hospital Starship Children bersama-sama Cik Ardern untuk bertemu dengan Alen Alsati, kanak-kanak lima tahun, yang baru sedar daripada koma selepas dia dan bapanya cedera dalam serangan di masjid Christchurch.

Gambar dan video yang disiarkan di akaun Twitter Istana Kensington menunjukkan Putera William duduk di sisi katil Alen dengan dikelilingi keluarganya dan Cik Ardern.

Kanak-kanak itu bertanya sama ada Putera William mempunyai anak perempuan.

“Ya, namanya Charlotte.... Dia sebaya kamu,” jawab Putera William.

Pada lewat petang pula, Putera William bertemu dengan pihak-pihak pertama yang memberi respons kepada kes serangan masjid itu, termasuk kakitangan ambulans.

“Anda melakukan tugas mengagumkan pada hari yang teruk itu,” katanya, menurut catatan Twitter Istana Kensington. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan