Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puluhan wartawan Palestin dakwa akaun WhatsApp disekat

Aplikasi pesanan mesej WhatsApp menyekat akaun puluhan wartawan Palestin berikutan pertempuran antara Israel dengan Hamas di Gaza pada bulan ini, menurut para wartawan.

Anggaran Waktu Membaca:
Puluhan wartawan Palestin dakwa akaun WhatsApp disekat

Gambar fail logo WhatsApp pada sebuah telefon bijak. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 26 May 2021 11:31AM Dikemas Kini : 26 May 2021 10:53PM

GAZA: Aplikasi pesanan mesej WhatsApp menyekat akaun puluhan wartawan Palestin berikutan pertempuran antara Israel dengan Hamas di Gaza pada bulan ini, menurut para wartawan.

Tidak lama selepas gencatan senjata berkuat kuasa 2.00 pagi Jumaat lalu (7.00 pagi waktu Singapura), yang mengakhiri konflik berdarah selama 11 hari, dua wartawan biro Gaza City AFP menerima notis daripada WhatsApp memaklumkan akaun mereka disekat.

Wartawan lain, di Baitulmakdis dan Tebing Barat serta Gaza, berkata akaun WhatsApp mereka juga disekat.

Seorang petugas dari saluran berita satelit yang berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, pula berkata akaun mereka dikembalikan selepas mereka membuat aduan kepada pemilik WhatsApp iaitu Facebook.

Naib Presiden Persatuan Wartawan Palestin, Tahseen al-Astall, berkata "kira-kira 100 wartawan" di Gaza mendapati akaun WhatsApp mereka disekat.

Sebagai sebahagian keperluan untuk membuat liputan konflik dari kedua-dua pihak, wartawan di Gaza menerima kenyataan daripada Hamas, termasuk menerusi WhatsApp. Ini meskipun kumpulan bersenjata Palestin itu disenarai hitam oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat kerana dituduh milik "kumpulan dan entiti yang terlibat dalam tindakan pengganasan".

Dalam pada itu, Pusat Arab bagi Pembangunan Media Sosial menyatakan tindakan menyekat akaun WhatsApp itu bukan kes terpencil.

Dalam satu laporan baru, kumpulan itu yang berpangkalan di Haifa, bandar ketiga dikuasai Israel, merakamkan 500 kes melibatkan pencabulan "hak digital' penduduk Palestin antara 6 Mei dengan 19 Mei.

"Kandungan dan akaun dipadamkan, dikurangkan atau dihadkan, tanda pagar (hashtag) disembunyikan dan kandungan arkib dihapuskan," menurut laporan itu.

Kira-kira "50 peratus daripada laporan itu mengenai Instagram, 35 peratus Facebook, 11 peratus Twitter and satu peratus Tik Tok.

"Syarikat-syarikat itu tidak memberikan penjelasan mengenai tindakan memadam atau menggantung kandungan dalam kebanyakan jawapan mereka kepada pengguna," menurut laporan sama.

"Bagaimanapun, alasan yang diberikan kepada pengguna termasuk ucapan kebencian, pencabulan piawaian masyarakat, meminta bukti identiti, antara lainnya."

Jurukempen 7amleh, Mona Shtaya, memberitahu AFP mereka menyaksikan "peningkatan menafikan hak digital warga Palestin" sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Media sosial kekal sebagai satu alat penting bagi rakyat Palestin, yang mana kebanyakan mereka percaya liputan media tradisional sahaja tidak mencukupi untuk merakamkan realiti sebenar krisis itu.

Serangan udara dan tembakan Israel ke atas Gaza mengorbankan 253 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, dan mencederakan lebih 1,900 orang dalam konflik selama 11 hari dari 10 Mei lalu, menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Roket dan tembakan lain dari Gaza meragut 12 jiwa di Israel, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang remaja Arab-Israel, seorang askar Israel, seorang warga India dan warga Thailand, menurut petugas perubatan. Sekitar 357 orang di Israel juga cedera. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan