Images
  • protest (1)
    Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri bandar Sha Tin buat hari kedua berturut-turut hari ini. (Gambar: AFP)

Puluhan ribu berarak buat hari kedua di Hong Kong

SHA TIN, HONG KONG: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri bandar Sha Tin buat hari kedua berturut-turut hari ini (14 Jul) - kawasan yang popular dengan para pembeli-belah dari tanah besar China.

Ini bagi melahirkan kemarahan mereka terhadap pemerintah Hong Kong berhubung cara ia mengendalikan rang undang-undang ekstradisi yang berpihak kepada China.

Sha Tin sebuah bandar yang terletak antara pulau Hong Kong dengan sempadan China.

Perkembangan ini sekali gus menunjukkan betapa tunjuk-tunjuk perasaan kini menganjur keluar daripada pusat kewangan Hong Kong, ke kawasan-kawasan kejiranan yang lain.

"Dewasa ini, memang tiada rasa percaya terhadap China, jadi para penunjuk perasaan keluar," kata penduduk Hong Kong bernama Jenniw Kwan, 73 tahun.

"Bukankah mereka berjanji bahawa selama 50 tahun (selepas penyerahan Hong Kong kepada China), tidak akan ada perubahan? Tapi kita lihat banyak perubahan," tambah beliau lagi.

Hong Kong dikembalikan kepada Beijing pada tahun 1997 di bawah formula "satu negara, dua sistem" yang menjanjikan kebebasan pentadbiran Hong Kong termasuk untuk mengadakan tunjuk perasaan dan sistem kehakiman yang bebas daripada campur tangan China.

Perarakan diadakan hari ini juga berlaku menyusuli tunjuk perasaan yang bertukar ganas semalam, di mana para pegawai polis dan penunjuk perasaan bertempur di daerah Sheung Shui, berhampiran sempadan dengan tanah besar China.

Sekurang-kurangnya lima pegawai polis cedera.

Polis menyifatkan tunjuk perasaan itu dirancang begitu teratur dengan ramai peserta muda membawa payung-payung dan tiang besi.

Pasukan keselamatan menggunakan kayu belantan dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Pihak penganjur menganggarkan sekitar 30,000 orang menyertai tunjuk perasaan semalam (13 Jul).

Bantahan yang bertukar ganas itu dilancarkan sebagai membantah kegiatan peniaga-peniaga dari tanah besar China yang mengelakkan cukai dan mengganggu periuk nasi penduduk Hong Kong.

Para penunjuk perasaan hanya bersurai selepas jam 8.00 malam apabila polis pencegah rusuhan bergerak masuk untuk meredakan ketegangan.

Pihak berkuasa Hong Kong mengutuk keras keganasan terbaru ini tetapi mengesahkan bahawa pada keseluruhannya tunjuk perasaan berjalanan secara aman.  

- REUTERS/AFP/MM/na

Top