Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puluhan orang maut dalam serangan udara di Yaman

Berpuluh-puluh orang terkorban termasuk kanak-kanak dalam sebuah bas yang melalui sebuah pasar, ekoran serangan udara yang dilancarkan pasukan gabungan yang diterajui Saudi di wilayah Saada di Yaman pada Khamis (9 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Aug 2018 08:45AM Dikemas Kini : 11 Aug 2018 12:18AM

ADEN: Berpuluh-puluh orang terkorban termasuk kanak-kanak dalam sebuah bas yang melalui sebuah pasar, ekoran serangan udara yang dilancarkan pasukan gabungan yang diterajui Arab Saudi di wilayah Saada di Yaman pada Khamis (9 Ogos). Ini menurut seorang pegawai kesihatan Yaman dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Satu kenyataan dikeluarkan oleh pasukan gabungan yang disokong barat untuk menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran itu. Menurut kenyataaan tersebut, serangan berkenaan disasarkan terhadap pelancar peluru berpandu milik kumpulan Houthi yang digunakan dalam serangan terhadap bandar Jizan di bahagian selatan Saudi. Serangan pada Rabu (8 Ogos) itu mengorbankan seorang penduduk Yaman.

Pasukan itu menuduh puak Houthi menggunakan kanak-kanak sebagai perisai. Pasukan itu juga menyatakan bahawa serangan udara tersebut dilancarkan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Jurucakap Houthi, Mohammed Abdul-Salam, berkata pasukan gabungan yang terbabit membuktikan bahawa mereka "jelas tidak menghiraukan nyawa orang ramai" kerana serangan itu menyasarkan kawasan awam yang sibuk di bandar.

ICRC menyatakan bahawa serangan udara itu dilancarkan ke atas sebuah bas yang membawa kanak-kanak di pasar Dahyan, di bahagian utara Saada.

Ketika ditemui di hospital, seorang saksi, Moussa Abdullah, berkata: "Kedai kami dibuka dan pelanggan sedang membeli-belah seperti biasa. Semua yang maut penduduk tempatan, kanak-kanak dan pemilik kedai."

Menulis di laman Twitternya, ICRC juga menyatakan bahawa pasukan perubatannya di Saada sudah menerima 29 mayat kanak-kanak, dengan kesemuanya berusia di bawah 15 tahun.

48 mangsa juga dilaporkan cedera, termasuk 30 kanak-kanak. 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan