Images
  • banjir kilat
     Pulau Pinang dilanda banjir kilat akibat cuaca hujan lebat. (Gambar: Bernama)

Pulau Pinang siap sedia hadapi banjir kilat

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang kini melalui fasa kritikal dalam menerima curahan hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di 26 tempat sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sejak 8 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang Shukri Muslim hari ini (10 Okt) berkata saban tahun, antara September hingga November, pertembungan hujan lebat berpanjangan serta fenomena air laut pasang adalah punca utama banjir kilat di negeri tersebut.

"Purata hujan di tanah besar (Seberang Perai) anggarannya kira-kira 2,300 milimeter (mm) setiap tahun. Sekarang ini, hujan bagi September baru 1,300 mm. Ini bermakna kita mempunyai kira-kira 1,000 mm lagi (air hujan) yang akan turun pada tempoh dua hingga tiga bulan ini,” katanya semasa sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau berkata JPS akan memohon peruntukan berjumlah RM 1.7 bilion (S$5.5 bilion) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan 13 (RMK-12 dan RMK-13) untuk projek mitigasi banjir di seluruh Pulau Pinang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Arahan tempoh berjaga-jaga dikeluarkan kepada pihak berkuasa dalam tempoh enam minggu ini kerana taburan hujan yang turun pada Selasa lalu adalah luar biasa dengan bacaan 200 mm bagi tempoh masa satu jam.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Rozali Mohamud berkata kebanyakan kawasan yang terjejas akibat banjir kilat tersebut melibatkan kawasan perumahan lama yang kedudukannya lebih rendah dari aras laut.

Beliau menambah kerajaan tempatan sedang membina rumah pam di Auto City, Juru, yang juga sebahagian daripada projek mitigasi Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjit kilat pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM79.7 juta (S$2.6 juta) bagi projek mitigasi banjir yang bermula pada tahun 2018 dan dijangka siap pada Mac 2020.

Ia termasuk projek pembinaan rumah pam, naik taraf sistem parit dan sungai, naik taraf jalan, pemasangan pam serta sebagainya di kawasan-kawasan yang kerap berlaku banjir kilat. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top