Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU14: Liow Tiong Lai isytihar tidak gentar hadapi Lim Kit Siang di Bentong

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia untuk menghadapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang jika benar Anggota Parlimen Gelang Patah itu berhajat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
PRU14: Liow Tiong Lai isytihar tidak gentar hadapi Lim Kit Siang di Bentong

Gambar fail Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai. (Gambar: AP Photo/Vincent Thian)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 10:46PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 10:47PM

BENTONG: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia untuk menghadapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang jika benar Anggota Parlimen Gelang Patah itu berhajat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Datuk Seri Liow berkata sebagai seorang wakil rakyat yang sudah menjalankan tugas dengan cemerlang di kawasan itu sejak 1999. Beliau yakin sokongan pengundi di kawasan itu tidak akan goyah daripada terus menyokongnya.

“Lim Kit Siang sebagaimana yang kita tahu dia memang gemar melompat dari satu tempat ke satu tempat lain… dulu di Pulau Pinang, kemudian ke Gelang Patah (Johor), semuanya tidak bertahan lama sebab dia tidak memberikan perkhidmatan dengan baik.

“…sebab itu kita tak peduli mana dia nak pergi, dia nak datang (bertanding) di sini pun tidak mengapa. Kita sedia hadapi sesiapa jua yang datang ke Bentong kerana kita mempunyai rekod pencapaian yang baik," kata Datuk Seri Liow.

“Bagi penduduk di sini mereka tahu siapa wakil rakyat yang beri perkhidmatan dan kerja keras untuk mereka,” tambah beliau di sebuah acara sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut Datuk Seri Liow lagi, rakyat kini semakin sedar Encik Kit Siang bukan sahaja gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang dimenanginya, tetapi juga tidak mempunyai pendirian tetap dalam politik.

LIOW TUDUH KIT SIANG "TIDAK ADA PRINSIP"

“Dia juga tidak ada prinsip, parti dia (DAP) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berpegang dengan prinsip perjuangan. Mereka lebih kepada ‘marriage of convenience’ (kahwin kontrak) untuk dapatkan sokongan rakyat.

“Rakyat pun rasa keliru, bagaimana Lim Kit Siang yang sudah marah Dr Mahathir lebih 22 tahun, kini sudah boleh peluk Dr Mahathir dan bagaimana Dr Mahathir juga boleh berbuat perkara yang sama. Mereka (rakyat) rasa hairan bagaimana hal ini boleh terjadi.

“Ini merupakan sandiwara semata-mata… dekat-dekat dengan pilihan raya mereka cuba dapatkan sokongan rakyat, kedua-dua puji memuji antara sama untuk bersihkan imej sebelum ini,” kata ketua MCA itu lagi.

Datuk Seri Liow menambah rakyat terutama di kawasan Bentong sudah muak dengan politik seperti itu dan sebaliknya mengharapkan satu kerajaan yang stabil dan mampu meneruskan pembangunan demi dapat menjamin masa depan mereka.

Menurutnya, menerusi kerajaan Barisan Nasional (BN), Bentong meraih pembangunan yang pesat termasuk dalam bidang pelancongan dan pertanian.

“Bentong menikmati pembangunan ini kerana kita ada kerajaan yang stabil dan kita telah rancang untuk giatkan lagi pembangunan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang termasuk pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita juga ada industri pelancongan yang hebat, selain produk pertanian seperti Durian Musang King dan Halia Bentong yang dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Kalau kerajaan tak kuat maka kita kita tidak dapat melaksanakan pembangunan ini secara berterusan,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan